Presiden Tharman luluskan Belanjawan 2026
Gesa rakyat S’pura sedia hadapi ‘badai’ ketidakstabilan sejagat
Presiden Tharman Shanmugaratnam telah meluluskan Belanjawan 2026, seperti yang dikongsikan di Facebook pada 18 Mac.
Menyifatkan keadaan semasa sebagai “masa yang penuh cabaran”, Tuan Presiden menyeru rakyat Singapura supaya bersiap siaga menghadapi gelombang kesukaran yang berpanjangan.
Ini berpunca daripada ketidakstabilan politik sejagat, terutama selagi konflik di Timur Tengah berlarutan dan Selat Hormuz masih ditutup.
Tuan Presiden berkata:
“Semakin lama perang di Timur Tengah berterusan dan Selat Hormuz kekal ditutup, risiko kemelesetan ekonomi yang teruk menjadi semakin tinggi, serta kadar inflasi yang meningkat di mana-mana.
“Semua ini menjadi titik tekanan baru yang besar dalam ekonomi sejagat dan pasaran kewangan yang sudah pun berada di bawah tekanan.
“Namun begitu, masalah ekonomi ini bukanlah cabaran paling besar yang kita hadapi.
“Kita sedang mengharungi badai ketidakstabilan politik sejagat berpanjangan.”
Menurut laporan berita, Perang Amerika-Israel ke atas Iran telah masuk minggu ketiga.
Selat Hormuz, laluan 20 peratus aliran minyak dan gas asli cecair dunia, sebahagian besarnya masih tertutup, melonjakkan harga tenaga dan menyemarakkan kebimbangan inflasi.
Menurut Tuan Presiden, dunia telah menyaksikan peningkatan penggunaan perang dan kemusnahan untuk menyelesaikan persaingan dan perbezaan, dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Terdapat juga pengabaian terang-terangan terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, yang dibentuk untuk melindungi rakyat biasa dalam konflik.
Namun, dalam mengemudi “dunia yang rapuh” ini, Singapura, sebagai sebuah negara kecil, mempunyai penimbal strategik.
Antara lain, rizab yang disimpan akan membantu negara menempuhi krisis besar, seperti yang pernah dilalui.
Selain itu, Belanjawan Singapura turut membolehkan negara ini berani melabur dalam setiap kemahiran dan keupayaan yang diperlukan, serta menyimpan sebahagian kewangan untuk keperluan masa depan.
“Kami dipercayai oleh negara-negara di seluruh dunia, yang membuka peluang baru demi manfaat bersama, membolehkan kami mempelbagaikan perdagangan dan sumber tenaga,” tambah Tuan Presiden.
Ini perlu menjadi “cara Singapura”: sentiasa bersedia menghadapi dunia yang mungkin tidak berjalan seperti yang dijangka.
Justeru, penting untuk melabur dalam masa depan setiap rakyat Singapura, di samping menyumbang kepada kebaikan sejagat, dan berdiri teguh untuk apa yang dipercayai – aturan dunia yang adil, terbuka, dan berperikemanusiaan.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, telah membentangkan Belanjawan 2026 pada 12 Februari.
Belanjawan itu menjadi landasan bagi Singapura untuk melangkah ke fasa pembangunan seterusnya dengan keyakinan dalam dunia yang sedang berubah.
Belanjawan bernilai $154.7 bilion, yang merupakan jumlah tertinggi setakat ini, merangkumi daya usaha untuk memperkasa rakyat Singapura dengan kecerdasan buatan (AI), menyokong keluarga termasuk mereka yang berkeperluan khas, serta meningkatkan taraf pekerja.
Nilai belanjawan itu membentuk sekitar 18.7 peratus daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) negara.
Sebagai perbandingan, pada tahun kewangan 2025, belanjawan negara adalah sebanyak $143.3 bilion.

