Singapura dan Malaysia perlu memperdalami kerjasama dalam bidang kepentingan bersama seperti jaminan makanan dan tenaga, kata kedua-dua pemimpin negara itu.

Ini berikutan perbincangan antara Presiden Tharman Shanmugaratnam dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kuala Lumpur, Malaysia pada 13 Julai.

Kedua-dua pemimpin tersebut turut bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik, seperti kesan daripada keadaan yang sedang berlaku di Timur Tengah.

Mereka juga menegaskan kepentingan menegakkan undang-undang antarabangsa, terutamanya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos) dan melindungi kebebasan pelayaran.

Tuan Presiden dan Datuk Seri Anwar membincangkan isu-isu tersebut semasa pertemuan mereka sempena lawatan negara pertama pemimpin Singapura itu ke Malaysia, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 14 Julai.

Ini merupakan lawatan pertama Tuan Presiden ke negara itu sejak menggalas jawatan tersebut pada 2023.

Lawatan tersebut, yang berlangsung dari 12 hingga 15 Julai, adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar.

MFA berkata lawatan itu “menggariskan komitmen kedua-dua negara untuk memastikan hubungan dua hala kukuh, stabil dan membawa manfaat bersama bagi rakyat kedua-dua negara”.

Semasa lawatan itu, Tuan Presiden telah bertemu dengan pemimpin dan tokoh Malaysia di peringkat persekutuan dan negeri.

Pada 13 Julai, beliau telah bertemu Sultan Ibrahim di Istana Negara, di mana beliau disambut dengan penuh istiadat dan dijamu santapan negara.

MFA berkata dalam pertemuan itu, Tuan Presiden dan Sultan Ibrahim membincangkan berkenaan hubungan dan kerjasama kukuh antara kedua-dua negara.

Mereka juga menggalakkan Singapura dan Malaysia untuk menjalin kerjasama lebih erat dalam bidang-bidang seperti tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan mampan.

Ini di samping memperluaskan cara bagi memperkukuhkan hubungan antara rakyat, termasuk dalam kalangan generasi muda, tambah kementerian itu.

Pada 14 Julai, Tuan Presiden mengadakan pertemuan bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, di Istana Alam Shah di Klang dan seterusnya bertemu dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pada sebelah petang hari itu pula, Tuan Presiden menghadiri acara jamuan malam anjuran Kelab Perniagaan Kuala Lumpur dan berucap kepada sekitar 90 hadirin di acara tertutup itu.

MFA berkata Tuan Presiden menyentuh tentang cabaran dalam dunia yang berpecah-belah kepada hadirin.

Ini selain keperluan untuk mengekalkan hubungan bersama negara-negara kuasa besar, sedang Singapura dan Malaysia terus mengukuhkan hubungan dengan rantau lain.

Beliau juga menekankan keperluan memperbaharui kerjasama pelbagai hala, sambil meningkatkan penyepaduan Asean dan kerjasama dua hala.