Singapura dan Malaysia mungkin menjadi negara lebih lemah, sekiranya salah satu gagal memupuk identiti kebangsaan yang kukuh dan mengekalkan keamanan negara masing-masing, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Beliau menambah bahawa kedua-dua negara bergantung antara satu sama lain demi meraih kejayaan yang dicapai kini.

Berucap dalam majlis jamuan bersama warga Singapura di Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur pada 13 Julai, Tuan Presiden berkata:

“Ekonomi kita (Singapura-Malaysia) saling terkait rapat dan kita sedang memulakan bidang kerjasama baharu – seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura, dan pengimportan lebih ketara tenaga boleh diperbaharui.

“Namun, pertalian sesama manusia yang menjadikan hubungan ekonomi kita berdaya tahan.”

Beliau berkata demikian kepada 150 warga Singapura yang hadir di majlis itu. Mereka merupakan sebahagian daripada lebih kurang 120,000 warga Singapura yang menetap di Malaysia.

Tuan Presiden berada di Malaysia bagi rangka Lawatan Negara dari 12 hingga 15 Julai, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Iskandar.

Ini merupakan lawatan negara pertama beliau ke Malaysia, sebagai timbal balas kepada lawatan Sultan Ibrahim ke Singapura pada Mei 2024.

Tuan Presiden berkata warga Singapura yang menetap di Malaysia memainkan peranan penting dalam mengekalkan kemesraan hubungan dua hala antara Singapura dengan Malaysia.

Beliau menukil beberapa warga Singapura yang berkhidmat atau bekerja di Malaysia, antaranya Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kowabunga! Global, Encik Muhammad Taufiq Yahya, sebagai contoh sedemikian.

Syarikat Encik Taufiq memberikan khidmat kepakaran dalam pendidikan untuk pembangunan mampan, selain mengendalikan pusat pendidikan.

Tuan Presiden berkata: “Melalui (sumbangan) anda, Singapura membina persahabatan dengan Malaysia.

“Sebagai rakyat Singapura, anda bukan sahaja menyumbang tenaga, tetapi juga belajar daripada pengalaman di Malaysia.”

Ketika ditemui Berita Harian selepas majlis, Encik Taufiq, 43 tahun, menyifatkan keputusan untuk mengembangkan sayap ke Malaysia bukan atas dasar peribadi semata-mata, tetapi atas dasar ekonomi.

Beliau menambah bahawa kenyataan Tuan Presiden itu satu gesaan untuk memperluaskan jangkauan, sekali gus memberi kesan kepada lebih ramai individu bukan sahaja di Singapura semata-mata.

Ayah kepada enam orang anak itu berkata: “Sejak kebelakangan ini, saya melihat bilangan perniagaan Singapura yang ingin memasuki pasaran Malaysia berkembang.

“Malah, usia golongan ini juga semakin muda. Golongan ini mendapati bahawa terdapat pasaran lebih besar yang mereka dapat penuhi apabila menebarkan sayap luar dari Singapura.

“Tetapi pada masa yang sama, masih berpaksikan (perspektif dan gaya pemikiran) Singapura.”

Justeru, beliau berkata sebagai syarikat yang turut berteraskan keusahawanan sosial, ada baiknya untuk meneroka negara lain yang memerlukan lebih bantuan untuk “membawa kesan positif luar dari Singapura”.

Semasa di KL juga, Tuan Presiden dijangka mengadakan pertemuan bersama pemimpin dalam sektor ekonomi dan kewangan di Kelab Perniagaan KL

Tuan Presiden juga akan mengadakan pertemuan bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, dan Menteri Besar Selangor, Encik Amirudin Shari.