BANGKOK: Dengan kadar pengambilan pekerja sejagat bagi peranan peringkat permulaan semakin merosot dek gangguan kecerdasan buatan (AI), pemerintah perlu bekerjasama dengan sektor swasta untuk menggalak pengambilan lulusan baharu, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 12 Oktober.

Sistem pengajian tinggi juga mesti mengalihkan tumpuan akademik mereka kepada pembelajaran kegunaan (applied learning) menerusi program bekerja sambil belajar dan latihan amali, tambah beliau.

Tuan Presiden berkata demikian semasa satu perbincangan panel mengenai AI dan pekerjaan di mesyuarat tahunan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia (WBG) di Bangkok, Thailand.

Perbincangan tersebut turut menampilkan pengarah urusan IMF, Cik Kristalina Georgieva, dan presiden WBG, Encik Ajay Banga.

Ia memberi tumpuan kepada bagaimana negara sedang membangun boleh memanfaatkan ‘Small AI’ – aplikasi boleh dimampui yang dibangunkan bagi bahasa, infrastruktur, dan belanjawan tempatan – bagi memacu pertumbuhan serta peluang pekerjaan.

Menarik perhatian bahawa kemunculan AI masih berada pada peringkat awal, Tuan Presiden berkata:

“Ini bukan satu kejutan secara sekali sahaja. Ini adalah satu era yang baharu sama sekali.”

Meskipun pertumbuhan ekonomi kekal penting untuk menjamin pekerjaan yang baik, pertumbuhan ekonomi sahaja tidak lagi mencukupi, seperti yang terbukti daripada penciptaan peluang kerja yang lemah di negara seperti China dan India yang sedang berkembang pesat, jelas beliau.

AI akan melebarkan jurang antara pertumbuhan ekonomi dengan penciptaan peluang kerja sekiranya dunia terlalu pasif dalam mengendalikan teknologi ini, tambah beliau.

“Kita mesti melakukan apa sahaja yang boleh untuk, pertama, menggunakan AI bagi mencipta pekerjaan yang baik, dan kedua, mencipta pekerjaan yang boleh dilakukan dengan baik oleh manusia walaupun dengan kehadiran AI,” kata beliau.

Tugas yang mendesak bagi pemerintah adalah untuk menangani isu kehilangan pekerjaan “tangga pertama” – iaitu peranan peringkat permulaan di mana lulusan baharu secara tradisinya menimba pengalaman.

Peluang pekerjaan sedemikian kian merosot, terutamanya dalam sektor yang paling terdedah kepada AI seperti teknologi dan juga sektor-sektor lain, kata Tuan Presiden.

Beliau menggesa pemerintah agar bekerjasama dengan sektor swasta bagi memastikan lulusan baharu dapat memperoleh pekerjaan pertama mereka, sekali gus membina laluan kerjaya.

Langkah-langkah ini perlulah berbentuk tindakan berstruktur dan bukannya tindak balas krisis sementara, seperti yang dilaksanakan semasa pandemik Covid-19 dan Krisis Kewangan Global, kata beliau.

Kerjasama awam-swasta sedemikian seharusnya memberi lulusan baharu tapak pertama dalam pasaran kerja di mana mereka boleh belajar sambil bekerja.

“Kita tidak boleh membiarkan perkara ini terlepas.

“Kerana jika anda terlepas peluang itu, dan sekumpulan anak muda menunggu, katakan, selama setahun sebelum mendapat pekerjaan, anda bukan sahaja terpaksa bersaing dengan kohort seterusnya pada tahun berikutnya.

“Malah anda juga kehilangan kemahiran, kehilangan bakat tidak ketara, dan kehilangan kepercayaan terhadap masa depan,” kata beliau.

Pada masa yang sama, universiti dan institusi pengajian tinggi, yang kini “terlalu tertumpu kepada akademik”, perlu menyesuaikan diri dengan perubahan di tempat kerja.

Tuan Presiden memberi amaran terhadap ancaman ekonomi berbentuk ‘K’ (K-shaped economy) di mana automasi menyingkirkan golongan pekerja kelas pertengahan.

Data sedia ada sudah pun menunjukkan bahawa hubungan antara kelayakan akademik dengan prospek kerjaya semakin melemah, kata beliau, sambil memetik data Amerika Syarikat di mana permintaan terhadap lulusan merosot buat julung-julung kalinya dalam tempoh seabad.

Tanda-tanda awal era baharu ini mesti dipandang serius, dan sistem pendidikan perlu beralih ke arah pembelajaran kegunaan yang memberi penekanan lebih besar kepada alam pekerjaan sebagai sebahagian daripada proses pendidikan, kata beliau.

Isu ini amat penting terutamanya bagi negara yang sedang membangun di mana laluan pendidikan kegunaan masih perlu dibangunkan, tambah beliau.