Pemulihan Katedral Notre-Dame di Paris beberapa minggu lalu – lima tahun selepas ia hampir musnah akibat kebakaran – membawa sinar kegembiraan, meskipun dunia dilanda pelbagai cabaran.
Presiden Tharman Shanmugaratnam, dalam hantarannya di Facebook pada 24 Disember berkata, pemulihan gereja besar itu juga merupakan detik perpaduan.
Seramai 2,000 tukang yang terlibat dalam kerja pemulihan Notre-Dame terdiri daripada mereka yang beragama Kristian, Islam, Yahudi dan lain, termasuk beberapa individu beragama Hindu.
Sebuah firma yang diasaskan oleh seorang Muslim Perancis bertanggungjawab mencipta semula kekuda kayu baru yang besar bagi menyokong bumbung yang telah musnah.
Usaha pemulihan itu mencerminkan warisan sejarah yang terbina daripada sumbangan bersama.
“Salah satu warisan sejarah yang sering dilupakan ialah bagaimana jurutera dan tukang Arab Muslim telah menyumbang kepada pembinaan asal Notre-Dame serta contoh-contoh penting seni bina Kristian zaman pertengahan di Eropah,” jelas Tuan Presiden.
Ia menyerlahkan “kerjasama berabad dan pengaruh bersama antara Kristian Latin dengan Dunia Islam”.
Selain itu, pemulihan Notre-Dame merupakan kejayaan kemahiran, semangat dan kerjasama terancang, tambah beliau.
Pakar dan pekerja dipilih dari seluruh Perancis dan dunia – ramai di antara mereka berpengetahuan tentang teknik purba, untuk mencipta semula sebanyak mungkin keaslian struktur berusia 860 tahun itu.
Mereka terdiri daripada tukang kayu dan tukang logam, artisan kaca berwarna dan pembina organ.
Antara kerja pemulihan termasuk mencipta semula kapak yang digunakan dalam pembinaan abad ke-13, bagi menghasilkan tanda yang sama pada rasuk kayu baru.
Mereka turut membongkar sebanyak 8,000 paip organ Notre-Dame – salah satu yang terbesar di dunia, setinggi 13 meter – yang dipenuhi jelaga plumbum.
Paip tersebut dibaiki dan dipasang semula, dengan setiap paip perlu dipusing secara berasingan pada waktu tengah malam.
Setiap paip perlu diselaraskan dengan paip bersebelahan. Untuk berbuat demikian, ia memerlukan suasana yang benar-benar sunyi.
Tuan Presiden juga menyatakan bahawa salah satu ciri baru ialah tulisan “Salam sejahtera” di atas pintu besar Notre-Dame yang dapat dilihat ketika pelawat meninggalkan katedral.
“Pemulihan Notre-Dame menjadi peringatan tentang bagaimana harapan boleh dicipta dan dikongsi melalui hati, fikiran dan tangan kita,” kata beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa dunia tidak seharusnya menyerah kepada pencerobohan yang tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat dan perpecahan yang wujud dalam masyarakat.
Notre-Dame ialah gereja yang paling banyak dikunjungi di dunia sebelum kebakaran dan salah satu monumen dunia yang paling banyak dikunjungi.
Tuan Presiden menyifatkan kepentingannya melangkaui aspek agama, sambil menawarkan pengunjung “perasaan ditenggelami suasana berabad-abad sejarah Perancis, bersama pelbagai pengaruh, sama ada keagamaan atau sebaliknya, yang membentuknya”.
Perpaduan itu sejajar dengan nilai perayaan Krismas yang beliau sifatkan sebagai “musim persefahaman dan kebersamaan” bagi rakyat Singapura.
Dalam hantarannya itu, Tuan Presiden turut mengucapkan selamat hari Krismas kepada masyarakat Kristian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg