Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Presiden Tharman: PM Wong dan pasukan dalam kedudukan baik jamin kepentingan S’pura

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Presiden Tharman: PM Wong dan pasukan dalam kedudukan baik jamin kepentingan S’pura

May 15, 2024 | 10:17 PM



Perdana Menteri baru Singapura, Encik Lawrence Wong, dan pasukannya berada dalam kedudukan baik untuk menjamin kepentingan negara di tengah-tengah arus geopolitik yang tidak dapat diramal, di samping membantu memajukan perpaduan Asean, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Berucap semasa majlis pelantikan dan angkat sumpah pada 15 Mei di Istana, Tuan Presiden berkata beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan Encik Wong memimpin Singapura dan beliau komited untuk bekerjasama rapat dengan Encik Wong dan pemerintahnya.

“Beliau (Encik Wong) telah memainkan peranan penting dalam membentuk dasar ekonomi, fiskal dan sosial kita. Beliau telah bekerjasama dengan gerakan pekerja demi memajukan kepentingan pekerja.

“Sebagai pengerusi bersama pasukan petugas Covid-19, beliau tenang dan tegas dalam keadaan penuh tekanan. Dan di pentas sejagat, beliau berdiri teguh dengan pemimpin antarabangsa.

“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan Encik Lawrence Wong untuk memimpin Singapura sedang kita meneroka arena baru di peringkat antarabangsa, dan untuk menyatukan rakyat Singapura daripada semua lapisan masyarakat bagi mencipta lembaran seterusnya dalam kisah Singapura bersama-sama,” kata beliau.

Tuan Presiden menambah, beliau komited untuk bekerja rapat dengan Encik Wong dan pemerintahnya, sama seperti hubungan membina dan harmoni beliau bersama mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, sejak beliau memegang jawatan sebagai Presiden lapan bulan lalu.

“Kami kerap bertemu dan mengadakan perbincangan peribadi secara jujur mengenai perkembangan utama, rancangan dan cabaran antarabangsa yang dihadapi Singapura.

“Kami telah berkongsi pemahaman tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam sistem tadbir urus Singapura. Saya berharap dapat mengekalkan hubungan yang erat dan produktif ini dengan Encik Wong,” kata Tuan Presiden.

Beliau menambah Encik Wong mengambil alih sebagai Perdana Menteri dalam tempoh perpecahan global yang semakin meningkat dan persaingan kuasa besar, dan peraturan antarabangsa yang semakin lemah.

Namun, beliau yakin Encik Wong dan pasukannya akan dapat mengatasi cabaran-cabaran ini.

Tuan Presiden berkata bahawa mereka yang pernah bekerja dengan Encik Wong, sama ada dalam pemerintah atau dalam masyarakat, akan tahu bahawa beliau membawa tahap keyakinan, pengalaman hidup dan kemahirannya yang tersendiri.

“Beliau adalah seorang yang sedia mendengar, seperti yang dilakukannya dalam Melakar Hala Tuju Singapura.

“Beliau mempunyai pendirian sendiri, dengan pendekatannya sendiri untuk membina musyawarah dan mencari jalan terbaik ke hadapan untuk negara. Dan beliau pasti akan melakukannya mengikut rentak dan gayanya sendiri,” katanya lagi.

Semasa berucap, Tuan Presiden turut melahirkan penghargaannya kepada mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang telah menepati janjinya untuk “menjadi Perdana Menteri untuk semua rakyat Singapura”, dan tidak meninggalkan sesiapa di belakang.

Beliau menambah bahawa di bawah kepimpinan Encik Lee sejak beliau memegang jawatan pada 2004, ekonomi Singapura telah berubah, dengan pekerjaan yang baik dalam setiap sektor dan pendapatan sebenar yang jauh lebih tinggi di seluruh tenaga kerja.

“Kita mempunyai masyarakat yang lebih inklusif, daripada memastikan setiap kanak-kanak mendapat permulaan yang baik dalam kehidupan kepada memberikan ketenangan fikiran kepada warga emas kita.

“Ketidaksamaan pendapatan telah berkurang, dan sumbangan masyarakat untuk meningkatkan setiap kumpulan yang kurang bernasib baik telah berkembang dengan ketara bersama-sama pemerintah.

“Encik Lee juga mengekalkan semangat penduduk yang utuh melalui Krisis Kewangan Global dan pandemik Covid-19, krisis utama yang memecahbelahkan banyak masyarakat lain,” kata Tuan Presiden.

Beliau juga memuji Encik Lee kerana menjunjung dan mengukuhkan norma dan piawaian kepimpinan politik, dan menetapkan piawaian kelakuan yang tinggi untuk semua yang memasuki jawatan politik.

“Kita tidak boleh menjatuhkan piawaian integriti, cegah rasuah dan tahap kelakuan yang telah diwujudkan oleh Encik Lee dan pendahulunya,” tambah Tuan Presiden.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >