Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Tharman, PM Wong lahir rasa sedih terhadap mangsa taufan Filipina

Nov 14, 2025 | 5:46 PM
tharman shanmugaratnam, president, takziah, taufan, filipina
Presiden Tharman Shanmugaratnam - Foto fail

Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah menulis surat kepada Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, untuk menyampaikan ucap takziah berikutan kehilangan nyawa dan kemusnahan ekoran Taufan Tino dan Taufan Super Fung-wong di Filipina.

Taufan Super Fung-wong membadai kawasan pantai timur Filipina pada 9 November, menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang maut dan memaksa lebih sejuta orang berpindah ke tempat lebih selamat, kata perkhidmatan cuaca negara itu.

Ribut taufan itu, dengan radius merangkumi hampir seluruh Filipina, melanda wilayah Aurora di pulau utama Luzon yang paling teruk terjejas.

Sementara itu, Taufan Tino meragut sekurang-kurangnya 140 nyawa dan menyebabkan hampir 130 orang hilang di wilayah tengah negara itu, dengan Presiden Filipina mengisytiharkan darurat nasional pada 6 November.

Dalam suratnya, Tuan Presiden menyampaikan ucapan takziah susulan bencana kedua-dua taufan tersebut.

“Bagi pihak rakyat Singapura, saya menyampaikan ucapan takziah yang setulusnya atas kehilangan nyawa dan kemusnahan meluas yang disebabkan Taufan Tino dan Taufan Super Fung-wong di Filipina.

“Singapura berdiri bersama Filipina dalam menghadapi masa sukar sebegini.

“Saya yakin di bawah kepimpinan anda dan ketabahan rakyat anda, Filipina mampu mengharungi cabaran ini dan muncul lebih kuat.

“Singapura bersedia menghulurkan bantuan,” kata Tuan Presiden.

Sementara itu, dalam suratnya, Encik Wong menyampaikan ucapan takziah sambil melahirkan kesediaan Singapura untuk menghulurkan bantuan kepada Filipina.

“Saya amat sedih dengan kehilangan nyawa dan kemusnahan yang disebabkan oleh Taufan Tino dan Taufan Super Fung-wong, (berlaku) begitu cepat selepas terjadinya satu bencana alam baru-baru ini.

“Ingatan dan doa kami bersama keluarga yang kehilangan orang tersayang, mereka yang cedera, serta semua masyarakat yang berdepan dengan tugas pemulihan yang berat.

“Saya yakin di bawah kepimpinan anda, rakyat Filipina akan mampu mengharungi tempoh sukar ini dengan kekuatan dan ketabahan.

“Singapura bersedia memberi bantuan kepada Filipina.

“Sila beritahu saya sekiranya terdapat cara untuk kami menyumbang,” ujar Encik Wong.

Dalam satu kenyataan pada 14 November, Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyatakan ia sedang memantau keadaan dan telah menghubungi rakyat Singapura yang berdaftar secara elektronik di kawasan terjejas bagi memberi sebarang bantuan konsular yang diperlukan.

“Rakyat Singapura di kawasan terjejas dinasihatkan supaya kekal berwaspada, mengambil semua langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

“Setakat ini, tiada laporan rakyat Singapura yang cedera akibat taufan berkenaan,” ujar MFA.

MFA turut menggalakkan rakyat Singapura yang berada di Filipina agar mendaftar secara elektronik di pautan, https://eregister.mfa.gov.sg dan mendapatkan insurans perjalanan menyeluruh.

Bagi rakyat Singapura di Filipina yang memerlukan bantuan konsular, mereka boleh menghubungi Kedutaan Singapura di Manila atau Pejabat Bertugas MFA yang beroperasi 24 jam.

Pejabat Bertugas MFA itu juga boleh dihubungi di talian 6379-8800 atau 6379-8855.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg