Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah menyampaikan ucapan tahniah kepada pemimpin India atas Hari Republik ke-76 negara itu, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 26 Januari.
Dalam surat mereka kepada Presiden India, Puan Droupadi Murmu, dan Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, Tuan Presiden dan Encik Wong mengalu-alukan hubungan rapat antara Singapura dengan India dan ingin terus mempertingkat kerjasama antara kedua-dua negara.
India menyambut Hari Republik yang ke-76 pada 26 Januari, dengan dihadiri Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, sebagai tetamu terhormat.
Dalam suratnya kepada Puan Murmu, Encik Tharman menarik perhatian bahawa hubungan antara Singapura dengan India telah banyak berkembang secara mendalam dan meluas selama ini.
Beliau turut menarik perhatian lawatan negaranya yang berhasil ke Odisha pada Januari apabila Singapura dan India meraikan hubungan diplomatik yang sudah terjalin selama 60 tahun.
“Singapura yakin dengan masa depan India. Kami akan terus menyokong dan melabur terhadap perkembangan dan pembangunan India dalam bidang kepentingan bersama, serta mengalu-alukan kerjasama rapat seterusnya,” ujar Encik Tharman.
Dalam suratnya kepada Encik Modi pula, Encik Wong menarik perhatian transformasi luar biasa India, dengan negara itu kini ekonomi kelima terbesar dunia, dan diunjurkan menjadi ekonomi ketiga terbesar dunia pada masa akan datang.
Beliau turut mengalu-alukan usaha India terus mendekati Asean, dan menarik perhatian peranan penting India dalam memastikan keamanan, kemakmuran dan kestabilan di rantau ini.
Encik Wong juga menekankan hubungan Singapura dengan India yang telah banyak berkembang dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, kewangan, pendidikan dan pertahanan serta bidang baru seperti kemampanan, pendigitalan, perkilangan maju dan keterhubungan.
Tambahnya, kedua-dua negara mencapai kemajuan baik dalam melaksana inisiatif yang dibincangkan semasa lawatan Encik Modi ke Singapura pada September 2024, serta kerjasama dalam taman perindustrian dan ekosistem semikonduktor India.
“Saya yakin kerjasama ini akan terus berkembang,” ujar Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg