Presiden Tharman Shanmugaratnam mengambil peluang keberadaannya di Paris untuk menyokong atlet Pasukan Singapura di pelbagai acara pertandingan seperti badminton, tenis meja, dan lawan pedang selama beberapa hari.
Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 28 Julai, Tuan Presiden dan isterinya, Puan Jane Ittogi – yang berada di Perancis untuk Sukan Olimpik dari 24 hingga 28 Julai – sempat bertemu dengan atlet Singapura semasa makan tengah hari yang diadakan di Perkampungan Olimpik.
Mereka juga bertemu dengan masyarakat Singapura di Perancis dalam majlis jamuan anjuran Kedutaan Singapura di Paris pada 24 Julai.
Selain menunjukkan sokongan kepada atlet Singapura, Tuan Presiden turut menghadiri Sidang Puncak Antarabangsa mengenai Sukan dan Pembangunan Mampan yang dianjurkan bersama oleh Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Encik Thomas Bach, pada 25 Julai.
Singapura telah mengikrar sokongan bagi Persetujuan Paris untuk Sukan dan Pembangunan Mampan, yang bertujuan untuk mencapai matlamat Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan, kata MFA.
Selain itu, Tuan Presiden dan Puan Ittogi, turut menghadiri majlis jamuan praupacara pembukaan Sukan Olimpik yang dianjurkan oleh Encik Macron dan isterinya, Cik Brigitte Macron, di Élysée untuk tetamu kenamaan luar negara, sebelum menghadiri Majlis Perasmian Sukan Olimpik Paris pada 26 Julai.
Tuan Presiden turut bertemu dengan beberapa pemimpin luar negara dan ketua pertubuhan antarabangsa yang berada di Paris untuk Pembukaan Olimpik.
Mereka mengesahkan semula hubungan baik Singapura dengan negara mereka dan mengalu-alukan peluang untuk meningkatkan kerjasama di pelbagai forum antarabangsa, termasuk Kumpulan Tadbir Urus Sejagat dan Forum Negara Kecil.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg