Presiden Tharman Shanmugaratnam mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Hotel St. Regis pada 13 Julai sempena rangka lawatan negara pertamanya ke Malaysia dari 12 hingga 15 Julai.

Lawatan negara itu adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Iskandar, dan sebagai kunjungan balas susulan lawatan Sultan Ibrahim ke Singapura pada Mei 2024.

Pertemuan tersebut dibuat sejurus selepas Tuan Presiden menghadiri majlis santapan di Istana Negara oleh Sultan Ibrahim dan permaisuri, Raja Zarith Sofiah, pada hari yang sama.

Ketibaan Tuan Presiden ke Istana Negara disambut secara penuh istiadat, dengan Tuan Presiden diberi penghormatan untuk memeriksa kontinjen Kawalan Kehormatan Utama melibatkan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Turut bersama Tuan Presiden dalam pertemuan bersama Datuk Anwar ialah Menteri Kemampanan dan Sekitaran yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu; dan Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Ini selain Mayor CDC Central yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Cik Denise Phua; AP GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin; dan AP GRC Holland-Bukit Timah, Encik Edward Chia.