Raja Belgium, Raja Philippe, memuji daya tahan Singapura serta komitmennya dalam membina hubungan dan kesepakatan, dan berjanji untuk memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara bagi kemakmuran bersama.
Berucap pada jamuan negara sempena lawatan negara Presiden Tharman Shanmugaratnam ke Belgium pada 24 Mac, Raja Philippe menyebut tentang konflik yang sedang berlangsung di Ukraine, Timur Tengah, dan Afrika, serta ketegangan yang meningkat di Laut China Selatan dan Selat Taiwan.
Merujuk keadaan itu sebagai “ancaman serius terhadap keamanan global dan multilateralisme, Raja Philippe berkata negaranya amat menghargai dasar luar Singapura, yang “didorong keperluan untuk (mencapai) keamanan, kestabilan, dan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa”.
“Daya tahan Singapura, di (tengah-tengah) wilayah yang menghadapi cabaran, begitu menonjol.
“Seruan Singapura dan Belgium untuk kerjasama (berteraskan) kedamaian, jauh berbeza daripada permainan kuasa yang sedang kita saksikan,” kata Raja Philippe, sambil menyatakan harapan agar kerjasama ini dapat terus berkembang.
Raja Philippe dan Ratu Mathilde menganjurkan majlis jamuan tradisional di Istana Laeken sempena lawatan negara pertama oleh seorang pemimpin Singapura ke Belgium, menjelang ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Singapura-Belgium pada 2026.
Presiden Tharman ditemani isteri, Puan Jane Ittogi.
Dalam ucapannya di majlis jamuan itu, Presiden Tharman turut menyentuh mengenai perubahan landskap global, lapor The Straits Times (ST).
“Dalam dunia yang semakin tidak menentu dan penuh cabaran ini – seperti yang baru sahaja dinyatakan Raja Philippe, kepercayaan bersama dan komitmen Singapura dan Belgium terhadap pembinaan hubungan dan dialog menjadi semakin penting.
“Sudah hampir 60 tahun sejak kita menjalin hubungan diplomatik rasmi, yang telah membolehkan kita membina ikatan yang kukuh dan berkekalan, berlandaskan komitmen bersama terhadap ekonomi terbuka, multilateralisme, dan sistem antarabangsa berasaskan peraturan.
“Kedua-dua negara kita terletak di tengah-tengah wilayah masing-masing, dikelilingi negara jiran yang lebih besar, tetapi amat bersepadu dalam rangkaian serantau dan global, dan kedua-dua negara kita telah maju dengan berfikiran dan bertindak di peringkat global,” kata Presiden Tharman.
Brussels secara meluas dianggap sebagai ibu kota ‘de facto’ (sebenar) Kesatuan Eropah (EU), kerana ibu kota Belgium ini menempatkan beberapa institusi utama EU.
Daripada kerjasama dalam bidang sosial serta budaya, hingga kemajuan saintifik dan teknologi, Presiden Tharman menekankan kedalaman dan keluasan hubungan antara Singapura dan Belgium.
Beliau turut menyebut mengenai peranan Belgium sebagai gerbang masuk strategik ke Eropah, serupa dengan kedudukan Singapura di Asia Tenggara.
Presiden Tharman juga menekankan kerjasama utama antara kedua-dua negara, termasuk peranan firma kejuruteraan marin Belgium, Deme, dalam pembangunan pelabuhan Singapura dan pelaburan besar pengendali pelabuhan PSA Singapura di Pelabuhan Antwerp-Bruges, yang ibu pejabatnya dilawati pada 25 Mac.
Memorandum Persefahaman (MOU) baru yang dimeterai pada 25 Mac, antara Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) dan pihak berkuasa pelabuhan Belgium akan mengukuhkan lagi kerjasama dalam digitalisasi maritim dan pengurangan karbon, kata MPA.
Pada sebelah petang, Presiden Tharman menyertai perbincangan mengenai penyertaan dan pemerkasaan belia yang dianjurkan oleh Raja Philippe dan Ratu Mathilde di istana diraja.
Pada 26 Mac, beliau akan melawat Universiti Catholique De Louvain dan syarikat teknologi perubatan IBA International, kemudian meneruskan lawatan ke Luxembourg bagi lawatan negara 27-28 Mac.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg