Hari ketiga lawatan negara Presiden Tharman Shanmugaratnam ke Malaysia pada 14 Julai menyaksikan beliau mengadakan pertemuan selama hampir sejam dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, di Istana Alam Shah di Klang.

Tuan Presiden turut bertemu dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, serta barisan pegawai kanan kerajaan negeri Selangor lain, diiringi delegasi Singapura yang menyertai lawatan itu.

Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataannya pada 14 Julai berkata semasa dua pertemuan itu, kedua-dua pihak telah membincangkan beberapa potensi bidang kerjasama, termasuk dalam pendidikan teknikal dan vokasional, penyesuaian iklim dan tebatan banjir, serta pertumbuhan syarikat pemula atau start-up.

Tuan Presiden turut mengalu-alukan lebih banyak pertukaran antara Selangor dengan Singapura.

Satu hantaran Facebook oleh Pejabat Diraja Selangor pada 14 Julai menyatakan bahawa Tuan Presiden dan Sultan Sharafuddin telah mengadakan perbincangan merangkumi pelbagai aspek ekonomi dan pembangunan Selangor dan Singapura.

Antara yang menarik perhatian Sultan Sharafuddin, menurut hantaran itu, adalah keberkesanan teknologi tebatan banjir, kaedah pembersihan sungai serta kelestarian pembangunan alam sekitar Singapura yang mapan.

Sultan Sharafuddin mencadangkan agar kerajaan negeri Selangor mempelajari dan menyesuaikan model pembangunan dan teknologi yang digunakan Singapura bagi mengatasi masalah banjir di Selangor.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia yang diterbitkan pada 1 Julai, Selangor merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia, menyumbang lebih 26 peratus daripada keseluruhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Malaysia pada 2025.

Tuan Presiden merumuskan hari ketiga lawatan negara beliau itu dengan menghadiri acara jamuan malam anjuran Kelab Perniagaan Kuala Lumpur, yang menghimpunkan peneraju dalam pelbagai industri di Malaysia.

Dalam ucapannya kepada sekitar 90 hadirin di acara itu, Tuan Presiden mengulas antara lain tentang cabaran dalam dunia yang berpecah belah, kata MFA.