Presiden Tharman Shanmugaratnam akan menerima anugerah berprestij daripada sebuah pusat penyelidikan Amerika Syarikat bagi mengiktiraf kepimpinan cemerlangnya dalam dasar kewangan antarabangsa.
Pusat Golub bagi Kewangan dan Dasar di Institut Teknologi Massachusetts (MIT) mengumumkan Hadiah Miriam Pozen tahun ini (2025) akan dianugerahkan kepada Tuan Presiden, menurut Pejabat Komunikasi MIT Sloan pada 25 November.
Beliau adalah penerima ketiga hadiah dwitahunan itu.
Sebagai sebahagian daripada penganugerahan itu, Tuan Presiden akan menyampaikan Syarahan Miriam Pozen pada 9 Disember di Sekolah Pengurusan Sloan MIT.
Beliau juga akan menerima hadiah bernilai AS$200,000 ($260,000) serta sebuah biasiswa yang dinamakan bersempena nama beliau, yang akan diberikan kepada seorang pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) MIT Sloan yang akan dipilih pada 2026.
Sumbangan besar Tuan Presiden dalam bidang dasar kewangan telah merentasi beberapa dekad, lapor The Straits Times (ST).
Dalam lebih 20 tahun kerjayanya dalam politik, beliau pernah memegang jawatan seperti Menteri Kanan, Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi dan Sosial, Timbalan Perdana Menteri, serta Menteri Kewangan dan Menteri Pendidikan.
Beliau turut mempengerusikan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dari 2011 hingga 2023, dan pernah menjadi pengarah urusannya sebelum menyertai politik pada 2001.
Di peringkat antarabangsa, Tuan Presiden kini mempengerusikan lembaga amanah Kumpulan 30 (G30), sebuah majlis global tokoh ekonomi dan kewangan, dan juga ahli lembaga amanah Forum Ekonomi Sedunia (WEF).
Antara peranan pentingnya dahulu ialah mengetuai Jawatankuasa Monetari dan Kewangan Antarabangsa (IMFC) – badan menetap dasar Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) – serta mempengerusikan Kumpulan Tokoh Terkemuka G20 (G20 EPG) mengenai Tadbir Urus Kewangan Sedunia.
Hadiah Miriam Pozen ditubuhkan bagi menghormati mendiang ibu Encik Robert C. Pozen, seorang pensyarah kanan MIT Sloan dan tokoh industri kewangan yang telah mewakafkan dana bagi anugerah tersebut.
Hadiah ini menyokong usaha Pusat Golub MIT dalam memajukan penyelidikan dan pendidikan rentas disiplin yang berkecuali dan inovatif, demi membantu pemerintah menangani cabaran kewangan dan pengawalseliaan.
Penerima terdahulu termasuk bekas ketua Bank Israel dan naib pengerusi Lembaga Simpanan Federal Amerika, Encik Stanley Fischer, pada 2021; dan Presiden Bank Pusat Eropah yang juga mantan Perdana Menteri Italy, Encik Mario Draghi, pada 2023.
Tuan Presiden berkata beliau berasa amat berbesar hati menerima anugerah tersebut, sambil berharap ia akan menyokong pembangunan idea bagi pengurusan kewangan awam yang berprinsip serta pembinaan semula aturan antarabangsa berasaskan kerjasama.
Kedua-duanya penting untuk menangani isu paling mendesak zaman ini, tambah beliau.
Presiden MIT, Cik Sally Kornbluth, menyatakan penghargaan mendalam terhadap kepimpinan Tuan Presiden, termasuk semangatnya dalam perkhidmatan awam dan pendekatan penuh belas ihsan terhadap isu sedunia.
Encik Robert Pozen turut memuji beliau sebagai contoh terbaik bagi penerapan sains kewangan ke dalam amalan dasar, iaitu sesuatu yang digalakkan oleh Hadiah Mariam Pozen.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg