Presiden Tharman Shanmugaratnam telah menulis surat kepada emir Kuwait, Sheikh Mishal al-Ahmad al-Jaber al-Sabah, untuk mengucapkan tahniah atas perlantikannya sebagai pemerintah baru negara Teluk itu, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 4 Januari.
Dalam surat bertarikh 2 Januari, Encik Tharman berkata Sheikh Mishal mempunyai “rekod perkhidmatan awam serta komitmen yang panjang dan unggul terhadap keselamatan dan kebajikan rakyat Kuwait”.
“Saya yakin di bawah kepimpinan Yang Amat Mulia, Kuwait akan terus membangun dan berkembang maju,” katanya.
Sheikh Mishal, 83 tahun, mengangkat sumpah sebagai emir baru pada Disember 2023 menyusuli kematian abang tirinya, Sheikh Nawaf al-Ahmad al-Sabah.
Sheikh Mishal, yang dinamakan putera mahkota pada 2020, telah menjadi pemerintah de facto Kuwait sejak akhir 2021 selepas Sheikh Nawaf, yang dalam keadaan lemah ketika itu, menyerahkan sebahagian besar daripada tugasnya kepada beliau.
Dalam surat yang sama juga, Encik Tharman berkata: “Singapura dan Kuwait menikmati persahabatan yang mesra dan lama, disokong dengan komitmen bersama kita terhadap perintah dunia berbilang hala, yang berasaskan peraturan.”
Beliau berharap dapat bekerjasama dengan Sheikh Mishal untuk mengeratkan lagi hubungan yang sedia erat antara kedua-dua negara.
Sebelum ini, Sheikh Mishal telah berkhidmat sebagai timbalan ketua pengawal negara dari 2004 hingga 2020 dan ketua keselamatan negara selama 13 tahun.
Pada 4 Januari, beliau menamakan Sheikh Mohammed Sabah al-Salem Al-Sabah, mantan menteri ehwal luar negara, sebagai perdana menteri baru Kuwait.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg