Kadar hotel, pendapatan dan kadar penghunian bagi suku pertama 2025 menunjukkan penurunan berbanding 2024, walaupun ketibaan pelancong antarabangsa hampir sama, menurut data Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada 7 Mei.
Namun, data hotel dan ketibaan pelancong meningkat pada asas suku tahunan.
Pada suku pertama 2025, kadar purata bilik (ARR) adalah $272.63, turun 3.3 peratus berbanding $281.94 pada suku pertama 2024.
Penurunan terbesar berlaku pada Mac, dengan penurunan 7.3 peratus berbanding 2024, lapor The Business Times (BT).
Ketibaan pelancong antarabangsa (IVA) untuk suku pertama 2025 mencatatkan 4.31 juta, meningkat sedikit daripada 4.3 juta pada suku pertama 2024.
IVA pada Januari naik 15 peratus kepada 1.63 juta, diikuti dengan penurunan 2.9 peratus pada Februari kepada 1.38 juta, dan penurunan 11.5 peratus pada Mac kepada 1.3 juta.
Prestasi IVA pada Mac 2025 mencerminkan corak musiman, dengan acara besar pada Mac 2024 seperti konsert Taylor Swift dan Sneaker Con SEA, menurut STB.
Seperti pada 2024, China menjadi sumber utama pelancong pada suku pertama 2025, dengan 831,470 pengunjung.
“Prestasi baik Januari 2025 dipacu oleh cuti musim sejuk dan Tahun Baru Cina, serta perjanjian pengecualian visa bersama,” kata jurucakap STB.
Negara utama lain bagi pelancong ialah Indonesia (640,257), Malaysia (312,218), Australia (308,124), dan India (261,456).
STB turut mencatatkan pertumbuhan terbesar IVA dari Jepun, yang meningkat 17 peratus kepada 161,342 pengunjung berbanding 137,852.
Jurucakap STB menyatakan ini didorong oleh kempen pemasaran dan kerjasama strategik, serta kerjasama dua tahun dengan wadah tempahan perjalanan, Klook, yang berjaya menarik lebih banyak tempahan pengalaman Singapura.
Peningkatan ini juga diperkukuh oleh asas yang lebih rendah pada Januari hingga Mac 2024.
Pendapatan bilik keseluruhan pada suku pertama 2025 menurun sebanyak 3.6 peratus berbanding 2024 kepada $1.29 bilion, dari $1.33 bilion.
Hasil bagi setiap bilik tersedia (RevPAR) juga merosot 4.1 peratus kepada $220.73, berbanding $230.21 pada suku pertama 2024.
Kadar penghunian purata hotel berada pada 80.96 peratus, menurun sedikit dari 81.65 peratus pada 2024.
Secara suku tahunan, data hotel dan ketibaan pelancong meningkat. ARR pada $272.63 adalah lebih tinggi daripada $270.42 pada suku keempat 2024.
Pendapatan bilik meningkat sedikit kepada $1.29 bilion, dari $1.28 bilion. RevPAR meningkat kepada $220.73, berbanding $215.76 sebelumnya, dan kadar penghunian meningkat kepada 80.96 peratus, dari 79.79 peratus.
IVA juga meningkat, dengan Indonesia menjadi sumber pelancong utama pada suku keempat 2024.
Australia, Malaysia, dan India juga berada dalam lima negara utama.
Melihat ke hadapan, jurucakap STB meramalkan peningkatan IVA dengan “barisan acara menarik” dalam beberapa bulan akan datang, termasuk konsert Lady Gaga, acara MICE seperti Semicon Southeast Asia 2025, dan acara sukan seperti Festival Bola Sepak Singapura.
STB meramalkan 17 juta hingga 18.5 juta pelancong antarabangsa untuk tahun penuh, dengan perbelanjaan pelancongan antara $29 bilion dengan $30.5 bilion.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg