Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pritam harap WP dapat ‘ubah’ satu atau dua lagi kawasan undi

Aug 4, 2025 | 8:40 PM
Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, membuat penampilan sulungnya di stesen radio Kiss92 pada 4 Ogos, yang dihoskan ‘deejay’ Glenn Ong dan Angelique Teo (kiri).
Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, membuat penampilan sulungnya di stesen radio Kiss92 pada 4 Ogos, yang dihoskan ‘deejay’ Glenn Ong dan Angelique Teo (kiri). - Foto ST

Menyingkap keputusan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada 3 Mei, Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, berharap Parti Pekerja (WP) telah dapat ‘mengubah’ satu atau dua lagi kawasan pilihan raya.

Berkongsi demikian semasa penampilan radio awam sulungnya di stesen radio Kiss92 pada 4 Ogos, Encik Pritam berkata masih ada kerja yang perlu dilakukan untuk WP, namun beliau bangga dengan prestasi calon-calon WP.

“Kami telah melakukan yang terbaik. Saya sebenarnya berharap kami dapat ‘mengubah’ satu atau dua lagi kawasan pilihan raya.

“Kami hampir dapat melakukannya, namun gagal. Akan tetapi, ia menunjukkan bahawa masih ada kerja yang perlu dilakukan dan oleh itu, kami akan terus mencuba.

“Saya fikir prestasi calon-calon amat baik, mereka cuba melakukan yang terbaik dan saya sangat terdorong dengan jumlah yang hadir dan telah tampil,” kata Encik Pritam.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada soalan deejay, Glenn Ong dan Angelique Teo, mengenai perasaannya terhadap keputusan GE2025.

Di samping itu, Encik Pritam diminta berkongsi tentang bagaimana perubahan sempadan telah memberi kesan kepada strategi pemilihan parti pada GE2025.

Laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) yang dikeluarkan pada 11 Mac menyaksikan kawasan GRC Marine Parade diserahkan kepada GRC East Coast.

Merujuk kepada itu, Encik Pritam berkata:

“Kami dahulunya berada di Marine Parade. Kami telah turun padang di kawasan itu untuk sekian lama dan telah melakukan kerja-kerja di situ selama beberapa tahun.

“Tetapi apabila kami melihat sempadan pilihan raya, kerana kami tidak boleh hanya melihat sempadan untuk satu pilihan raya sahaja, kami perlu fikirkan masa depan juga, dan kami terpaksa mengubah haluan.

“Ramai rakan saya yang tinggal di Marine Parade berkata, Pritam, kami benar-benar mahu awak bertanding di sini’.

“Dan saya katakan, Saya sendiri pun inginkan itu sebenarnya.’ Tetapi pada akhirnya, kami hanya ada sejumlah kad dalam tangan, hanya ada sejumlah calon yang bersedia untuk membawa bendera parti.

“Jadi kami membuat keputusan bahawa strategi parti lebih penting,” katanya.

Namun, Encik Pritam melahirkan perasaan bangga terhadap partinya yang mengambil iktibar daripada perubahan itu dan meneruskan tekad untuk berkhidmat.

“Mereka menerima mesej daripada parti, bahawa kita perlu mengubah haluan, dan mereka teruskan kerja dengan penuh tekad.

“Itu adalah sesuatu yang sangat saya banggakan. Ia benar-benar mencerminkan disiplin dan jati diri mereka,” tambah Encik Pritam.

Dalam penampilannya sepanjang 45 minit itu, Encik Pritam turut menjawab beberapa soalan daripada pendengar tentang kehidupan peribadi dan kegemarannya.

Antara lain, pendengar stesen radio Kiss92 mengemukakan soalan yang lebih santai, mengenai sukan kegemaran serta perisa aiskrim kegemarannya.

Menjawab, beliau berkata bola sepak dan kek keju strawberi.

Daripada jawapan yang diberikan, kededua deejay telah mengambil kesempatan untuk menyambut hari lahir ke-49 Encik Pritam, yang jatuh pada 2 Ogos, dengan menyanyikan lagu hari lahir buatnya di samping menghadiahkannya dengan sepotong kek.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg