Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pritam: S’pura perlu tabah harungi dunia berbeza

Aug 8, 2025 | 8:00 PM
Setiausaha Agung, Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, dalam Amanat Hari Kebangsaan WP yang dikeluarkan pada 8 Ogos, menyatakan bahawa ulang tahun kebangsaan Singapura yang ke-60 (SG60) adalah detik untuk berhenti sejenak dan merenung kembali.
Setiausaha Agung, Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, dalam Amanat Hari Kebangsaan WP yang dikeluarkan pada 8 Ogos, menyatakan bahawa ulang tahun kebangsaan Singapura yang ke-60 (SG60) adalah detik untuk berhenti sejenak dan merenung kembali. - Foto fail

Kisah Singapura memaparkan daya tahan golongan perintis, ibu bapa dan rakyat.

Daya tahan tersebut akan terus menjadi penting dalam mengharungi dunia yang amat berbeza pada masa hadapan.

Menyatakan demikian dalam Amanat Hari Kebangsaan Parti Pekerja (WP) yang dikeluarkan pada 8 Ogos, Setiausaha Agung parti tersebut, Encik Pritam Singh, berkata ulang tahun kebangsaan Singapura yang ke-60 (SG60) merupakan detik buat semua berhenti sejenak dan mengimbas.

Meskipun Singapura telah melangkah jauh, masih banyak yang perlu dilakukan, kata Ketua Pembangkang itu lagi.

“Kisah Singapura masih lagi ditulis oleh setiap rakyatnya – daripada warga senja kita yang menjalani usia emas mereka dengan penuh hormat dan makna, kepada pekerja gig yang berdedikasi sepanjang masa, kakitangan awam yang berusaha tanpa mengenal erti penat bagi memastikan Singapura kekal selamat dan terjamin, serta kepada para pelajar muda yang mengimpikan masa depan – dan ramai lagi.

“Kisah Singapura akan menjadi lebih berlapis dan kompleks apabila warga baru dari pelbagai pelosok dunia menyertai keluarga besar Singapura.

“Setiap sumbangan anda, sama ada kelihatan atau tidak, adalah nadi yang terus menghidupkan negara kita,” ujar Encik Pritam.

Menerusi kemerdekaan, kemelesetan ekonomi dan pandemik sejagat, Singapura telah menjadi sebuah negara yang disatukan oleh rakyatnya yang berhati besar, menjunjung tinggi nilai kebenaran, serta memiliki penghargaan yang mendalam terhadap rasa hormat antara satu sama lain, tanpa mengira kaum, bahasa atau agama, kata Encik Pritam.

Namun, Singapura perlu membina masa depan yang lebih saksama dari segi peluang, di mana tiada sesiapa yang dipinggirkan, dan setiap rakyat Singapura mempunyai ruang untuk berkembang, bersuara dan bermimpi, katanya.

“Setiap rakyat Singapura mempunyai kuasa untuk membentuk masa depan negara.

“Tanggungjawab sivik ini adalah amanah kita,” ujar Encik Pritam.

Pembangunan negara tidak pernah menjadi kerja satu pihak atau satu generasi, malah ia merupakan usaha individu dan usaha bersama.

Tatkala Singapura memandang ke hadapan, beliau menggesa agar Singapura berbuat demikian dengan harapan, belas kasihan dan pemahaman bahawa kekuatannnya terletak bukan pada mengatasi perbezaan, tetapi kerana perbezaan itu sendiri.

Selain mengucapkan selamat ulang tahun yang ke-60 kepada Singapura, Encik Pritam turut melahirkan harapan agar rakyat negara ini sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik secara bersama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg