Sebagai negara yang amat bergantung kepada perdagangan, Singapura mesti kekal “tangkas dan cepat menyesuaikan diri”, menyusuli keputusan Amerika Syarikat mengenakan tarif ke atas banyak negara, kata ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh dalam satu hantaran di Facebook pada 5 April.
Ketua Pembangkang itu berkata perubahan dan ketidaktentuan adalah satu realiti berterusan bagi negara yang bergantung kepada perdagangan dan beliau bersetuju dengan seruan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong supaya Singapura kekal bersatu dalam menghadapi ketidaktentuan besar ini.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump pada 2 April mengumumkan keputusan untuk mengenakan tarif secara menyeluruh ke atas pelbagai negara di seluruh dunia.
Singapura dan ramai lagi rakan perdagangan utama Amerika kini berdepan tarif sebanyak 10 peratus ke atas kebanyakan barangan yang dieksport ke negara itu, dengan sebilangan besar negara lain dikenakan duti kastam lebih tinggi.
Dalam satu video yang dimuat naik ke akaun media sosialnya pada 4 April, Encik Wong menyifatkan tarif yang dikenakan itu sebagai satu langkah yang membawa “perubahan besar dalam landskap perdagangan global”.
“Perdagangan dan pelaburan antarabangsa akan terjejas, dan pertumbuhan global akan menjadi perlahan. Singapura akan lebih terkesan berbanding negara lain kerana kebergantungan kita yang tinggi terhadap perdagangan,” kata PM Wong.
Beliau menyeru rakyat Singapura agar kekal cekal dan bersatu, kerana ini akan membantu negara ini “terus bertahan dalam dunia yang penuh cabaran”.
Pada 5 April, Encik Pritam berkata beliau bersetuju dengan seruan PM Wong itu, lapor The Straits Times (ST).
“Sebagai negara yang bergantung kepada perdagangan, Singapura perlu kekal tangkas dan cepat menyesuaikan diri dengan peluang baru,” kata Encik Pritam.
Beliau menambah untuk membina masyarakat yang bersatu, rakyat Singapura – walau berbeza latar belakang – perlu bergerak sehaluan, terutama sekali ketika rakyat berdepan cabaran yang tidak menentu.
“Rakan-rakan saya dan saya percaya bahawa sebuah Parlimen yang mewakili semua rakyat Singapura mencerminkan masyarakat yang bersatu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tindak balas terbaik Singapura terhadap masa depan yang tidak menentu ialah “kesatuan dalam kepelbagaian, tanpa mengira kaum atau agama”.
“Kerana itulah WP sejak dahulu menyeru kepada kewujudan (pihak) pembangkang yang rasional dan bertanggungjawab… di negara yang kita panggil tanah air ini. Seruan itu kini terus berkembang, dengan penekanan terhadap pentingnya pembangkang yang setia – setia kepada Singapura,” ujar Encik Pritam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg