Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Produk bayi, barang perhiasan kanak-kanak dalam talian tidak selamat

Nov 13, 2025 | 4:49 PM
Singapura, Pejabat Keselamatan Produk Pengguna, CPSO
Daripada 22 produk berisiko tinggi dalam talian yang dibeli dan diuji Pejabat Keselamatan Produk Pengguna (CPSO), 17 didapati tidak selamat. - Foto CCS

Beberapa produk bayi dan barang perhiasan diri khusus untuk kanak-kanak yang dijual dalam talian didapati tidak selamat.

Badan pemantau keselamatan pengguna Singapura, Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCS) berkata dalam satu kenyataan media pada 13 November, bahawa 17 daripada 22 produk yang diuji tidak memenuhi piawaian keselamatan. 

Produk berkenaan termasuk katil bayi, kereta sorong, serta barang perhiasan dan aksesori kanak-kanak.

Pejabat Keselamatan Produk Pengguna (CPSO) telah membeli dan menguji 22 produk yang ditawarkan terutamanya oleh pembekal di wadah runcit dalam talian Shopee dan Lazada sepanjang 2025.

“Daripada 22 produk berisiko tinggi yang diuji, 17 didapati tidak selamat kerana tidak memenuhi piawaian keselamatan produk yang terpakai,” ujar CCS.

Manakala baki lima produk – yang terdiri daripada mainan bayi dan kanak-kanak – ia didapati mematuhi piawaian antarabangsa dari segi keselamatan fizikal dan kimia, lapor The Straits Times.

Katil bayi yang tidak mematuhi piawaian ditemui mempunyai komponen berbahaya, seperti bahagian yang boleh menjerut pakaian dan berisiko menyebabkan bayi tercekik.

Produk lain pula mempunyai ruang terbuka, bahagian bergerak, atau sisi yang cukup lebar untuk menyebabkan jari atau kepala kanak-kanak tersepit.

Sesetengah katil bayi pula mempunyai bahagian bawah yang mudah patah sehingga boleh menyebabkan bayi terjatuh, atau sisi yang tidak cukup tinggi untuk menghalang kanak-kanak daripada memanjat keluar.

Sementara itu, kereta sorong didapati mempunyai rangka atau roda yang patah apabila melalui permukaan tidak rata, atau sistem keselamatan tidak mencukupi.

Kedua-duanya boleh menyebabkan kanak-kanak terjatuh.

Sesetengah kereta sorong pula mempunyai bahagian kecil dan mudah ditanggalkan yang boleh menyebabkan kanak-kanak tercekik, manakala yang lain mempunyai bahagian bergerak yang boleh menyebabkan jari atau kaki kanak-kanak tersepit, tercucuk atau luka.

Barang perhiasan diri khusus untuk kanak-kanak yang tidak mematuhi piawaian pula didapati berisiko menyebabkan luka, dengan perhiasan yang tercabut semasa ujian dan mendedahkan bahagian tajam.

Terdapat juga jam tangan dengan bahagian bateri bulat yang mudah dikeluarkan, dan jika kanak-kanak tertelan bateri tersebut, mereka berisiko mengalami lecuran kimia dalaman.

CCS telah bekerjasama dengan wadah e-dagang dan peruncit dalam talian untuk mengeluarkan produk yang tidak mematuhi piawaian tersebut daripada senarai.

“Pengguna yang telah membeli produk yang dikenal pasti, digalakkan berhenti menggunakannya dengan serta-merta, manakala mereka yang memiliki produk serupa perlu berwaspada terhadap risiko bahaya,” kata Ketua Eksekutif CCS, Encik Alvin Koh.

Menurut CCS, Pejabat Pendaftaran Trauma Nasional (NTR) mencatat purata sekitar 140 kes kecederaan kanak-kanak setiap tahun antara 2022 dengan 2024 akibat penggunaan katil bayi, kereta sorong, bateri bulat dan barang perhiasan diri khusus untuk kanak-kanak.

CCS turut memetik Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) yang berkata sebilangan besar kemalangan yang melibatkan katil bayi dan kereta sorong menyebabkan kanak-kanak terjatuh dan cedera di kepala.

Perunding Kanan di Jabatan Perubatan Kecemasan KKH, Dr Ronald Tan, berkata:

“Kami telah menyaksikan peningkatan kecederaan berkaitan katil dan kereta sorong dalam lima tahun kebelakangan ini.

“Trend ini mengingatkan kita tentang kepentingan ibu bapa dan penjaga untuk sentiasa ada (dengan kanak-kanak), lebih berhati-hati, dan memantau dengan lebih dekat semasa menggunakan katil dan kereta sorong.”

CCS menasihati ibu bapa dan penjaga supaya mengambil langkah keselamatan ketika membeli atau menggunakan produk kanak-kanak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg