Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Produk herba HW Beauty dikesan mengandungi bahan steroid bahaya

Nov 19, 2025 | 2:52 PM
HW Beauty, Serbuk Campuran Kurma, steroid, ubat bahaya
Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah mengesan bahan terlarang dan berbahaya dalam produk herba, HW Beauty Serbuk Campuran Kurma, Madu & Limau Kasturi. HSA menggesa agar pengguna mendapatkan rawatan perubatan dengan segera. - Foto HSA

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mengeluarkan amaran kepada orang awam agar tidak membeli dan menggunakan produk herba, ‘HW Beauty Serbuk Campuran Kurma, Madu & Limau Kasturi’.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 19 November, hasil ujian makmal oleh HSA mendedahkan produk yang dipasarkan sebagai suplemen tradisional untuk melegakan sakit sendi dan gout, mengandungi campuran bahan terlarang yang berbahaya.

Ia mengandungi dua steroid kuat (dexamethasone dan prednisolone) dan ubat antiradang (diclofenac) yang boleh menyebabkan kesan buruk.

Penggunaan ubat-ubat itu hanya dibenarkan di bawah pengawasan perubatan yang ketat.

Ujian itu menyusuli maklum balas daripada pengguna mengenai kelegaan daripada kesakitan yang serta-merta.

Sepanjang beberapa minggu lalu, HSA juga telah menerima beberapa laporan disyaki berkaitan kesan buruk produk tersebut.

Ini termasuk kejadian serius kecederaan ginjal akut (acute kidney injuries) dan Sindrom Cushing, perubatan serius yang dicirikan oleh muka bulat atau rupa ‘muka bulan’ (moon face).

Dua pesakit dimasukkan ke hospital pada awal November dan telah dibenarkan pulang. Semakan kes masih dijalankan.

Menurut HSA, produk itu telah dijual melalui pelbagai saluran, termasuk wadah e-dagang tempatan seperti Shopee, Carousell, dan Lazada, platform media sosial seperti TikTok, dan kedai runcit tempatan.

“Ia dipasarkan sebagai “suplemen herba tradisional yang diwarisi turun-temurun” untuk melegakan pelbagai keadaan perubatan termasuk sakit sendi dan gout.

“Produk itu diuar-uarkan sebagai “bebas steroid”, “produk tulen” yang “bermutu premium” yang boleh memperdaya pengguna bahawa produk tersebut selamat.

“HSA telah bekerjasama dengan pentadbir wadah e-dagang tempatan untuk memadamkan penyenaraian produk, dan meminta mereka menyekat atau memadamkan sebarang penyenaraian produk pada masa hadapan,” tambah HSA.

Semasa pencarian oleh Berita Harian (BH) dalam talian, didapati produk tersebut kini sukar ditemui dalam platform e-dagang utama.

Pengguna yang telah menggunakan ‘HW Beauty Serbuk Campuran Kurma, Madu & Limau Kasturi’ hendaklah mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada semasa membeli produk kesihatan.

“Elakkan produk yang diragui daripada sumber tidak disahkan, beli hanya daripada penjual bereputasi baik, dan berhati-hati dengan dakwaan “keajaiban”.

“Sentiasa rujuk kepada karyawan perubatan untuk menguruskan penyakit kronik, dan laporkan produk yang mencurigakan kepada HSA,” tambahnya.

Semua penjual dan pembekal mesti menghentikan penjualan produk itu serta-merta atau berhadapan tindakan penguatkuasaan tegas HSA.

Bagi penjual yang disabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda sehingga $10,000 atau kededuanya.

Bagi sesiapa yang yang mempunyai maklumat tentang penjualan produk itu, hubungi Cawangan Penguatkuasaan HSA di talian 6866-3485 atau e-mel hsa_is@hsa.gov.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg