Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mengeluarkan amaran kepada orang awam agar tidak membeli dan menggunakan produk herba ‘HW Beauty Serbuk Campuran Kurma, Madu & Limau Kasturi’.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 19 November, hasil ujian makmal oleh HSA mendedahkan bahawa produk yang dipasarkan sebagai suplemen tradisional untuk melegakan sakit sendi dan gaut, mengandungi campuran bahan terlarang yang berbahaya.
Ia mengandungi dua steroid kuat (dexamethasone dan prednisolone) dan ubat antiradang (diclofenac) yang boleh menyebabkan kesan buruk. Penggunaan ubat-ubat ini hanya dibenarkan di bawah pengawasan perubatan yang ketat.
Ujian itu menyusuli maklum balas daripada pengguna mengenai kelegaan kesakitan serta-merta dan kesan itu mirip dengan satu lagi kes produk yang telah dilaporkan mengenai ketulenannya pada April lalu.
Sepanjang beberapa minggu yang lalu, HSA juga telah menerima beberapa laporan disyaki berkaitan kesan buruk produk tersebut.
Ini termasuk kejadian serius kecederaan buah pinggang akut (acute kidney injuries) dan Sindrom Cushing, perubatan serius yang dicirikan oleh muka bulat atau rupa ‘muka bulan’ (moon face).
Dua pesakit telah dimasukkan ke hospital pada awal November dan telah dibenarkan pulang. Semakan kes masih dijalankan.
Menurut HSA, produk itu telah dijual melalui pelbagai saluran, termasuk platform e-dagang tempatan seperti Shopee, Carousell, dan Lazada, platform media sosial seperti TikTok, dan kedai runcit tempatan.
“Ia dipasarkan sebagai “suplemen herba tradisional yang diwarisi turun-temurun” untuk melegakan pelbagai keadaan perubatan termasuk sakit sendi dan gaut.
“Produk ini diuar-uarkan sebagai “bebas steroid”, “produk tulen” yang “berkualiti premium” yang boleh memperdaya pengguna bahawa produk tersebut selamat.
“HSA telah bekerjasama dengan pentadbir platform e-dagang tempatan untuk memadamkan penyenaraian produk, dan meminta mereka menyekat atau memadamkan sebarang penyenaraian produk pada masa hadapan,” kata HSA.
Semasa pencarian oleh Berita Harian (BH) dalam talian, didapati bahawa produk tersebut kini sukar untuk ditemui dalam talian di platform-platform e-dagang utama. Ini menandakan bahawa ada tindakan pantas HSA untuk memadam dan menyekat penyenaraian produk tersebut.
Pengguna yang telah menggunakan “HW Beauty Serbuk Campuran Kurma, Madu & Limau Kasturi” hendaklah mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.
Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada semasa membeli produk kesihatan.
“Elakkan produk yang diragui dari sumber tidak disahkan, beli hanya daripada penjual bereputasi baik, dan berhati-hati dengan dakwaan “keajaiban”.
“Sentiasa rujuk profesional perubatan untuk menguruskan penyakit kronik, dan laporkan produk yang mencurigakan kepada HSA,” nasihat HSA.
Semua penjual dan pembekal mesti menghentikan penjualan produk ini serta-merta jikalau tidak, HSA akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas.
Bagi penjual yang disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda sehingga $10,000 atau kedua-duanya.
Bagi sesiapa yang yang mempunyai maklumat tentang penjualan produk ini, sila hubungi Cawangan Penguatkuasaan HSA di talian 6866 3485 atau emel hsa_is@hsa.gov.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg