Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prof Lim Chong Yah dikenang bina institusi tiga pihak yang kukuh di S’pura: NWC

Jul 9, 2023 | 8:48 PM
DIKENANG JASA: Dalam ucapan yang dikeluarkan pada Ahad, Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) berkata, mendiang Profesor Lim Chong Yah diingati sebagai seorang yang bersungguh-sungguh membina kepercayaan di kalangan ahli tiga pihak di Singapura.
DIKENANG JASA: Dalam ucapan yang dikeluarkan pada Ahad, Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) berkata, mendiang Profesor Lim Chong Yah diingati sebagai seorang yang bersungguh-sungguh membina kepercayaan di kalangan ahli tiga pihak di Singapura. - Foto ST oleh DESMOND LUI

Pakar ekonomi, Profesor Lim Chong Yah, akan diingati sebagai seorang yang bersungguh-sungguh membina kepercayaan di kalangan ahli tiga pihak di Singapura.

Demikian yang diucapkan oleh Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) dalam ucapan takziahnya yang dikeluarkan pada Ahad kepada keluarga mendiang Profesor Emeritus Lim Chong Yah, yang telah meninggal dunia pada usia 91 tahun pada Sabtu.

“Profesor Lim akan diingati kerana telah menubuhkan NWC dan meninggalkan institusi tiga pihak yang kukuh, unik untuk Singapura, yang terus memainkan peranan penting dalam mengembangkan ekonomi kita dan meningkatkan kehidupan rakyat Singapura.

“Bagi pihak NWC, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mendiang Profesor Lim atas kepimpinan dan perkhidmatan cemerlang beliau kepada NWC,” kata Pengerusi NWC, Encik Peter Seah.

Profesor Lim merupakan pengerusi perintis NWC ketika badan itu ditubuhkan pada 1972. Pada masa itu, beliau berdepan dengan tugas yang mencabar dek hubungan pengurusan buruh yang tegang.

Meskipun demikian, Profesor Lim tetap meneruskan usaha membina kepercayaan di kalangan ahli tiga pihak, dengan mewujudkan prinsip panduan teras NWC bahawa keputusan utama mestilah dicapai menerusi sebulat suara.

Dengan kesungguhannya, NWC telah berjaya membina asas kukuh bagi hubungan tiga pihak yang harmoni di Singapura hari ini.

“Prinsip utama kebulatan suara ini bermakna kadangkala mungkin lebih mencabar untuk membuat keputusan, tetapi ia mendorong rakan kongsi tiga pihak untuk bersatu di sebalik tujuan bersama dan mencari penyelesaian “menang-menang” yang boleh diterima bersama,” kata NWC

Dalam tempoh kepimpinannya yang menjangkau hampir 30 tahun, Profesor Lim juga telah berdepan dengan pelbagai cabaran besar.

Ini termasuk membantu majikan dan pekerja untuk pulih semula ketika Singapura berdepan dengan krisis minyak pada 1973 hingga 1974, diikuti dengan tempoh penyusunan semula ekonomi, kemelesetan ekonomi antara 1985 hingga 1986 dan krisis kewangan serantau dari 1997 hingga 1998.

“Tahun demi tahun, NWC merumuskan garis panduan gaji tahunan yang menyediakan asas rasional untuk rundingan gaji dan membenarkan kenaikan gaji di Singapura bergerak seiring dengan produktiviti dan prestasi ekonomi.

“Ia mengubah sistem gaji kami menjadi sistem yang fleksibel dan responsif kepada perubahan keperluan majikan, pekerja dan ekonomi,” tambah NWC.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg