Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program $4j dilancar bantu keluarga susah, tangani kes tipu

Inisiatif Persatuan Bank S’pura bakal bantu 10,000 keluarga memerlukan; laksana kempen tingkat kesedaran tentang penipuan
Jun 8, 2024 | 5:21 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri), mengagihkan barangan keperluan kepada seorang penerima dalam acara ABS Community Marketplace sempena pelancaran majlis Program Menyumbang Kembali oleh Masyarakat Persatuan Bank Singapura (ABS) di HomeTeamNS Khatib Clubhouse pada 8 Jun. Majlis tersebut diadakan sebagai sebahagian daripada pelancaran kempen #GiveAsOneSG Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri), mengagihkan barangan keperluan kepada seorang penerima dalam acara ABS Community Marketplace sempena pelancaran majlis Program Menyumbang Kembali oleh Masyarakat Persatuan Bank Singapura (ABS) di HomeTeamNS Khatib Clubhouse pada 8 Jun. Majlis tersebut diadakan sebagai sebahagian daripada pelancaran kempen #GiveAsOneSG Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024. - Foto ZAOBAO

Persatuan Bank Singapura (ABS) telah melancarkan program bernilai $4 juta untuk membantu 10,000 isi rumah daripada keluarga berpendapatan rendah selain meningkat usaha memerangi penipuan.

Program Menyumbang Kembali kepada Masyarakat atau Community Giveback Programme itu dilancarkan dalam satu majlis pada 8 Jun di HomeTeamNS Khatib Clubhouse dengan dihadiri tetamu terhormat, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dalam satu kenyataan media pada 8 Jun, ABS menyatakan program itu akan menjangkau selama dua tahun (2024 hingga 2025) dan telah meraih sokongan daripada sekitar 50 bank anggota.

ABS menambah program tersebut bakal menyaksikan penglibatan sekitar 6,000 sukarelawan, terdiri daripada kakitangan bank serta rakan kongsi dan ia tertumpu pada dua tunjang.

Bagi tunjang pertama iaitu aspek Sosial dan Alam Sekitar, sebanyak $2 juta daripada $4 juta telah diperuntukkan manakala tunjang kedua berteraskan kempen memerangi penipuan, jelas ABS.

Tambah ABS, setiap daripada tunjang tersebut merangkumi tiga inisiatif.

Majlis itu diadakan secara serentak dengan acara ABS Community Marketplace yang pertama kendalian ABS dengan kerjasama Pusat Sukarelawan SG Cares, sebagai sebahagian daripada pelancaran kempen #GiveAsOneSG Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024.

Acara tersebut merupakan inisiatif pengedaran barangan keperluan – seperti beras, minyak dan sabun mandi – kepada keluarga berpendapatan rendah, sejajar dengan usaha di bawah tunjang pertama.

Di bawah inisiatif ini, keluarga berpendapatan rendah diberi kredit $80 untuk mendapatkan barangan keperluan isi rumah, kata ABS.

Semasa berucap, Pengerusi ABS dan juga Ketua Pegawai Eksekutif DBS Group, Encik Piyush Gupta, berkata: “Hari ini, seramai 1,500 sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan bank mengedarkan barangan keperluan isi rumah kepada keluarga benefisiari di serata Singapura.”

Beliau menambah 450 keluarga berpendapatan rendah yang menetap di kawasan Yishun menerima pengagihan tersebut – yang turut diadakan di 21 lokasi lain serata Singapura.

Selain itu, ABS menambah ia akan turut menggiatkan usaha memerangi penipuan dengan kempen baru.

Di bawah usaha ini, ia akan bekerjasama dengan Pasukan Polis Singapura (SPF), Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC), Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan MoneySense untuk “bantu orang awam kekal berwaspada terhadap penipuan”.

Dalam pada itu, semasa berucap, Dr Faishal menggesa agar rakyat Singapura dapat tampil dan meluangkan masa dengan kegiatan sukarelawan demi mencapai masyarakat yang benar-benar inklusif.

“Anda boleh berikan sumbangan dengan menjadi sukarelawan sebagai rakan kepada keluarga yang memerlukan, rancang aktiviti untuk melibatkan warga emas atau bantu pelajar muda dengan pelajaran mereka.

“Tindakan sedemikian dapat membantu mengatasi apa jua perbezaan dan mengeratkan jalinan lebih kukuh dalam masyarakat,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg