Sekitar 30 bakal usahawan teknologi daripada kalangan masyarakat Islam Singapura telah mengambil bahagian dalam sebuah program anjuran bersama AMP Singapura dan Urbane Tech, iaitu Urbane Tech 2024.
Urbane Tech, yang merupakan projek sosial yang diasaskan pada 2019, bertujuan memperkasa belia Islam Singapura dalam keusahawanan teknologi.
Diadakan selama seminggu, dari 24 Ogos hingga 31 Ogos, peserta dapat mempelajari asas penting dalam memulakan dan membangunkan syarikat teknologi dalam program itu.
Ini termasuk mencari kesesuaian produk dengan pasaran, pengumpulan dana pelaburan dan strategi keluar, atau exit strategy.
“Dalam program ini, para peserta didedahkan… Cara mengenal pasti peluang pasaran, membina produk yang relevan, serta strategi untuk menarik pelaburan dan merancang masa depan syarikat,” kata AMP dalam satu kenyataan media.
Semasa Program Urbane Tech 2024, peserta membentangkan idea-idea inovatif yang merangkumi pelbagai industri seperti Fintech Islam, e-dagang generasi baru, teknologi keagamaan dan teknologi kesihatan.
Salah seorang pengasas Urbane Tech, Encik Faris Malik, berkongsi bahawa program tersebut telah menonjolkan potensi besar belia Islam dalam keusahawanan teknologi.
“Saya sangat teruja melihat perkembangan dan idea inovatif yang lahir daripada program ini. Apa yang diperlukan ialah bimbingan dan peluang yang sesuai untuk mereka berkembang,” kongsi Pengurus Program di Boston Consulting Group itu.
Menurut AMP, dua idea berjaya menerima dana permulaan daripada Urbane Tech – masing-masing bernilai $2,000 dan $1,000.
Pertama, sebuah aplikasi kecerdasan buatan (AI) LLM domain tertutup (closed-domain AI LLM) yang membantu pelajar menguruskan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi dengan lebih baik.
Kedua, aplikasi kesihatan gigi berasaskan AI.
Seorang lagi pengasas Urbane Tech, Encik Syakir Hashim, berkata program tersebut memberikan satu wadah bagi belia berjaya dalam dunia teknologi yang semakin berkembang pesat.
“Program ini bukan sahaja tentang membina syarikat pemula, bahkan tentang membina keyakinan dan kebolehan mereka meneroka peluang baru dalam bidang yang masih belum banyak diterokai oleh masyarakat kita,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif AMP, Encik Mohksin Rashid, menekankan komitmen AMP mendorong keterlibatan masyarakat Islam dalam teknologi.
“AMP sentiasa menyokong penciptaan idea-idea inovatif yang mendatangkan manfaat kepada masyarakat Islam kita.
“Dalam era digital ini, saya berharap lebih ramai dalam kalangan masyarakat kita melibatkan diri dalam ruang teknologi,” ujar beliau.
AMP dan Urbane Tech merancang untuk menganjurkan program tersebut sekali lagi pada 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg