Buah salak di dalam kantung, kulitnya keras isinya kelat;
Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Itulah yang diharapkan Masjid Darul Makmur kepada masyarakat dalam usaha untuk mengumpul dana bagi projek peningkatan masjid. Slogan ‘Masjid Tanpa Sempadan’ bukan sekadar cogan kata, bahkan menjadi suatu matlamat dan tujuan yang ingin dicapai oleh masjid ini.
Masjid Darul Makmur bekerjasama dengan rakan kongsi dan kumpulan berkepentingan di kawasan Yishun agar dapat menyampaikan mesej dan memupuk sifat ihsan dalam kalangan penduduk Melayu/Islam serta bersama bangsa dan agama yang lain.
Buat masa ini, masjid yang sedang ditutup sepenuhnya giat berusaha mengumpul dana, dengan menganjurkan beberapa acara demi mencapai sasaran yang diperlukan bagi projek peningkatan tersebut.
Mengulas mengenai perkara ini, Pengurus Masjid bagi Masjid Darul Makmur, Ustaz Ruhaizan Abdullah, berkata sejauh ini sambutan yang diterima sungguh memberangsangkan.
“Sejauh ini, sambutan dan sumbangan daripada masyarakat amat menggalakkan. Alhamdulillah, kami ucapkan jutaan terima kasih kepada semua penderma yang memberikan sumbangan dan sokongan. Sejak kami mula mengumpul dana untuk projek peningkatan ini, sebanyak $11.4 juta berjaya dikumpulkan.”
Masjid Darul Makmur yang dibangunkan pada 1987, sedang rancak menjalani kerja peningkatan agar ia dapat menerima lebih ramai lagi jemaah apabila siap kelak.
Dianggarkan bakal siap pada suku kedua 2025, ia mampu memberi keselesaan kepada jemaah yang semakin bertambah. Lebih-lebih lagi dengan banyaknya Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru yang telah siap dan juga yang sedang dibangunkan di kawasan kejiranan Yishun.
Berkongsi rayuannya, asatizah di Masjid Darul Makmur, Ustazah Suhanah Ahmad, yang giat mengendalikan kelas dewasa untuk golongan wanita, berkata:
“Kami berharap setelah selesai projek peningkatan masjid, ruang yang lebih luas dan auditorium yang lebih selesa dapat dimanfaatkan oleh semua jemaah, terutama sekali golongan Muslimah yang menghadiri kelas pengajian di masjid ini.”
Buat masa ini, masjid sedang mengendalikan kelas-kelas agama untuk golongan wanita di Pusat Nur Insan di Yishun. Ini dapat dilaksanakan hasil kerjasama penggunaan ruang oleh pihak masjid dan pusat tersebut.
Kelas pengajian bimbingan asatizah mapan, Ustazah Habsah Senin, yang diadakan lebih 20 tahun juga masih diteruskan buat sementara di pusat yang sama, walaupun masjid ditutup untuk kerja peningkatan.
Kini, Masjid Darul Makmur dapat menampung sekitar 3,000 anggota jemaah setiap waktu dan apabila selesai nanti ruang solat dapat menambah kapasiti kepada lebih 4,600 anggota jemaah.
Ini tumpuan utama, selain penambahan lif, dan memastikan ruang masjid yang kondusif, ruang kelas pengajian lebih selesa dan laluan yang mudah digunakan oleh warga emas.
Bilik-bilik darjah untuk kegunaan madrasah aLIVE di Masjid Darul Makmur juga akan ditambah sehingga 12 bilik berbanding hanya tujuh sekarang. Terdapat lebih 1,000 pelajar yang mengikuti program aLIVE secara sambilan di Masjid Darul Makmur pada waktu ini.
Selain daripada kelas pengajian dan sesi ceramah agama yang diadakan di kejiranan Yishun sewaktu penutupan masjid buat masa ini, pegawai masjid sedang bekerjasama dengan pegawai di Masjid Assyafaah untuk mengendalikan acara seperti Majlis Nisfu Syaaban, Program bulan Ramadan, memperingati Israk Mikraj dan pelbagai acara lain.
“Baru-baru ini, majlis sambutan Awal Muharam 1446 Hijrah yang dianjurkan bersama di Masjid Assyafaah telah mendapat sambutan yang amat baik sekali. Ramai penduduk yang menetap di Yishun juga sama-sama menghadiri acara yang diadakan ini,” ujar Ustaz Ruhaizan.
Pihak masjid masih memerlukan $3.6 juta untuk kos peningkatan yang sedang berjalan dan amat mengharapkan sokongan daripada masyarakat setempat.
Sumbangan derma untuk Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur boleh dilakukan melalui cara berikut:
1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: Wakaf/Infak).
2. Pemindahan wang ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001 (Rujukan: Wakaf/Infak).
3. Cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.
4. Hadir di pejabat sementara di Masjid Assyafaah di 1 Admiralty Lane, Singapura 757620 (pada waktu pejabat).
* Hubungi pejabat masjid di talian 6752-1402 untuk pengambilan derma $500 ke atas dari rumah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg