Dalam dunia yang pesat berubah dan sukar diramal dengan keperluan yang semakin kompleks, masyarakat perlu bekerjasama dalam cara yang lebih terhubung dan terselaras merentas ekosistem yang lebih luas.

Demikian menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Beliau menekankan ini boleh dicapai dengan memanfaatkan kekuatan setiap organisasi serta bekerjasama secara saling melengkapi – bukannya secara sendirian – demi mencapai hasil terbaik bagi masyarakat.

Dr Faishal berkata demikian semasa Sesi Jaringan M Kuasa Tiga+ (M³+) sulung bersama badan Melayu/Islam (MMO) dan badan India Muslim (IMO).

Sesi yang diadakan di HomeTeamNS Khatib pada 17 April itu dihadiri lebih 120 pemimpin daripada lebih 30 MMO dan IMO.

Ini kali pertama badan-badan tersebut berkumpul sama susulan pengumuman Dr Faishal semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) untuk memulakan beberapa siri perbualan yang lebih teliti tentang apa yang boleh dilakukan bersama.

Bercakap di Parlimen pada 5 Mac, Dr Faishal telah mengumumkan bahawa rangkaian M³ – usaha kerjasama antara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki, dengan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) – diperluaskan menjadi M³+ agar ia dapat bekerjasama lebih rapat dengan MMO, IMO dan kumpulan tidak rasmi.

Langkah itu bertujuan memperkukuh ekosistem sokongan dalam masyarakat dan membolehkan badan itu menyampaikan khidmat pada peringkat akhir dengan lebih berkesan bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Terdapat banyak kerja baik yang sudah dijalankan di peringkat seluruh masyarakat. Terdapat komitmen, pengalaman dan kepercayaan yang dibina selama bertahun-tahun.

“Namun, sedang keperluan menjadi lebih kompleks, kita perlu berusaha dalam kerja yang lebih terhubung dan terselaras merentasi ekosistem yang lebih luas. Ini lebih penting lagi dalam dunia yang pantas berubah dan tidak dapat diramal,” tambah Dr Faishal.

Beliau menjelaskan dalam fasa selanjutnya di bawah M³+, badan-badan yang terlibat mesti memanfaatkan kekuatan setiap organisasi, lebih-lebih lagi kerana setiap MMO dan IMO membawa bersama mereka pengalaman dan pemahaman mendalam terhadap segmen masyarakat berbeza yang sudah sekian lama menjadi tumpuan perkhidmatan mereka.

MMO, IMO dan M³ juga mesti bekerjasama dan saling menyokong.

Namun, di bawah pendekatan ekosistem M³+, ia bukan hanya tertumpu kepada sokongan MMO atau IMO terhadap program yang diterajui M³.

Menurut Dr Faishal, akan ada masanya rakan kongsi masyarakat sendiri yang akan memimpin usaha tertentu, sementara pihak lain memberikan sokongan.

Hal ini kerana organisasi tersebut mungkin lebih dekat dengan isu yang dihadapi, mempunyai hubungan yang lebih kukuh dengan segmen sasaran, atau memiliki kepakaran serta kepercayaan yang diperlukan.

“Dalam kes-kes sedemikian, M³ lah yang mesti bersedia untuk datang bersama memberi sokongan. Itu pada saya merupakan semangat ekosistem M³+ ini. Ia sangat berpaksikan pemikiran masyarakat yang mengutamakan ‘Kita Dahulu’.

“Ia bukan tentang hierarki tetapi kerjasama, bukan tentang bekerja secara bersendirian tetapi bekerjasama secara melengkapi. Ia bukan persoalan siapa yang memiliki program ini tetapi bertanyakan apa yang terbaik bagi masyarakat,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa sesi tersebut akan menjadi permulaan kepada kaedah kerjasama yang lebih terancang sebagai sebahagian daripada inisiatif M³+ yang telah dipertingkat.