Kedai di estet kejiranan boleh menerima lebih banyak sokongan untuk memberi nafas baru dan meningkatkan daya tarikan visual kedai mereka demi menarik lebih ramai pelanggan di bawah Program Pembarangan Visual yang dipertingkat, kata Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling.
Berkongsi butiran semasa Jawatankuasa Perbekalan (COS) kementeriannya di Parlimen pada 6 Mac, Cik Low berkata program dipertingkat itu akan menawarkan sokongan dalam latihan, konsultasi dan pengubahsuaian kedai mereka.
Dalam pada itu, sokongan geran untuk kos kelayakan lebih tinggi sehingga $60,000 – naik daripada $12,000 sebelum ini – akan disediakan untuk kedai yang ingin melakukan projek berskala besar.
“Di samping itu, skop projek bagi pengubahsuaian bahagian depan kedai boleh lebih disesuaikan, dan lebih banyak topik latihan akan ditambah,” kata beliau.
Cik Low menambah, banyak kedai di estet kejiranan menyaksikan jumlah pelanggan dan penjualan mereka meningkat sebanyak 20 peratus sejak Program Pembarangan Visual itu dilancarkan pada 2021.
Sementara itu, satu Program Estet Kejiranan Bertenaga bagi Persatuan Pedagang akan dilancarkan untuk menyokong acara dan kegiatan pewujudan tempat yang lebih bermakna yang dijalankan persatuan sedemikian, dalam usaha menghidupkan kawasan kejiranan.
Cik Low berkata persatuan tersebut boleh mengadakan kegiatan kecil di bawah pilihan standard yang disarankan atau meneroka peluang mengadakan acara pewujudan tempat berskala besar dan disesuaikan.
Kegiatan kecil akan menerima sokongan geran untuk kos kelayakan $3,000 bagi setiap permohonan, manakala acara pewujudan tempat berskala besar akan menerima sokongan geran untuk kos kelayakan sehingga $200,000 bagi setiap permohonan.
Cik Low berkata estet kejiranan membentuk sebahagian daripada identiti kolektif rakyat Singapura, dan kedai-kedai di estet kejiranan adalah sebahagian daripada kehidupan harian dan fabrik sosial.
Pada 2022, pemerintah melancarkan program Our Heartlands 2025 $50 juta untuk memberi nafas baru kepada estet kejiranan dan mempertingkat keupayaan kedai-kedai di estet kejiranan, untuk membantu mereka menjalani transformasi, kekal relevan dan terus berkhidmat kepada penduduk.
“Kami akan menyokong dan memperkasa perusahaan kita sedang mereka menjalani transformasi dan berkembang – sama ada ia firma besar yang berharap dapat berkembang di luar negara, syarikat kecil dan sederhana (SME) yang memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), atau kedai dan gerai di estet kejiranan yang mencari lebih ramai pelanggan.
“Kami akan terus berusaha untuk menyokong mereka dalam setiap langkah,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg