Lebih 400 isi rumah yang kurang bernasib baik di kawasan Zhenghua yang terletak di daerah barat laut akan meraih manfaat daripada satu program baru yang bertujuan membantu mereka menangani peningkatan kos sara hidup.
Di bawah program, Projek Sama Sama @ North West, isi rumah yang layak dalam kalangan flat sewa di bawah Skim Sewa Awam di Zhenghua akan diberi kredit $20 setiap bulan selama setahun mulai Julai.
Menurut Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West pada 6 Julai, kredit tersebut boleh digunakan untuk menebus barangan daripada mesin layan diri, yang beroperasi sepanjang masa.
Mesin-mesin layan diri itu akan diisi dengan makanan ringan, minuman dan surat khabar, serta keperluan harian seperti produk pembersihan dan bekalan perubatan.
“Program ini juga menyediakan pilihan yang fleksibel untuk isi rumah bagi memilih barangan yang mereka perlukan, berdasarkan keselesaan mereka,” ujar jurucakap CDC North West.
Isi rumah di kawasan Zhenghua akan dimaklumkan tentang kelayakan mereka.
Seorang anggota dalam isi rumah boleh mendaftar dengan nombor telefon mereka di laman web program tersebut.
Bagi menggalakkan perbelanjaan secara tetap, kredit akan diberikan dalam bentuk kod QR pada awal setiap bulan. Tempoh kod itu akan tamat pada hari terakhir bulan tersebut.
Projek Sama Sama @ North West itu dilancarkan pada 6 Julai di Blok 634A, Senja Road.
Ia adalah hasil kerjasama antara CDC North West, SPH Media dengan firma teknologi, Auresys.
Peranan SPH Media dalam kerjasama itu adalah menyediakan surat khabar yang juga akan didapati dalam mesin layan diri tersebut.
Seperti barangan lain, penduduk di kawasan Zhenghua boleh menebus akhbar itu menggunakan kredit mereka.
Mayor CDC North West, Encik Alex Yam, yang menghadiri majlis pelancaran program tersebut, berkata ia direka bentuk untuk dibiayai sepenuhnya oleh penaja, dan akan memberikan sokongan berterusan kepada isi rumah.
“Kami merancang untuk meningkatkan Projek Sama Sama @ North West kepada lebih banyak kawasan, dengan matlamat membantu sehingga 8,000 penduduk berpendapatan rendah melalui penajaan sekitar $2 juta,” katanya.
Penaja untuk kawasan Zhenghua termasuk Singapore Pools dan Gardenia Singapore.
Syarikat dan individu yang berminat untuk menaja boleh melayari pautan, bh.sg/projeksama, untuk maklumat lanjut.
Isi rumah yang memerlukan bantuan untuk mendaftar bagi program itu boleh menghubungi kakitangan atau sukarelawan di Kelab Masyarakat Zhenghua.
Antara penduduk yang mencuba mesin layan diri tersebut ialah suri rumah, Cik Noorasikin Bahadrul Hisham.
“Tuisyen untuk anak perempuan saya sangat mahal jadi kredit mesin ini sangat membantu membiayai beberapa perbelanjaan harian kami.
“Mesin itu sangat memudahkan keluarga saya kerana kami tidak perlu jalan dan beratur di pasar raya untuk mendapatkan barangan yang sama,” kata Cik Noorasikin, 39 tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg