Program Ease pertingkat kediaman warga emas diperluas ke rumah privet

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program Ease pertingkat kediaman warga emas diperluas ke rumah privet

Feb 22, 2026 | 1:25 PM

Program Ease pertingkat kediaman warga emas diperluas ke rumah privet

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, mengumumkan peluasan program Penambahbaikan Kediaman bagi Warga Emas Aktif (Ease) kepada penduduk kediaman privet. Beliau mengumumkan perkara tersebut semasa sambutan Tahun Baru Cina di Kondominium Braddell View bersama penduduknya pada 22 Februari.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, mengumumkan peluasan program Penambahbaikan Kediaman bagi Warga Emas Aktif (Ease) kepada penduduk kediaman privet. Beliau mengumumkan perkara tersebut semasa sambutan Tahun Baru Cina di Kondominium Braddell View bersama penduduknya pada 22 Februari. - Foto BH oleh KHAIRUL AKMAL ALI

Penduduk kediaman privet kini boleh memanfaatkan satu skim yang menyediakan subsidi bagi pemasangan kelengkapan di rumah untuk memudahkan pergerakan dan meningkatkan keselamatan warga emas.

Kira-kira 80,000 isi rumah tambahan layak menerima manfaat di bawah program Penambahbaikan Kediaman bagi Warga Emas Aktif (Ease), yang akan diperluaskan dan dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 April 2026.

Program tersebut, yang sebelum ini diperkenalkan untuk flat HDB, akan digelar Ease (Privet) untuk kediaman privet.

Di bawah program tersebut, isi rumah yang layak akan masing-masing menerima baucar bernilai $1,200 mulai 1 April di bawah satu skim untuk memberi subsidi kepada kos pemasangan kelengkapan terpilih mesra warga emas.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, semasa sambutan Tahun Baru Cina bersama penduduk kondominium Braddell View pada 22 Februari.

“Melalui Ease, pemilik rumah boleh memasang kelengkapan mesra warga emas seperti palang pemegang dan rawatan lantai kalis gelincir bagi meningkatkan mobiliti dan keselamatan di rumah,” katanya.

Beliau berkata bantuan yang dihulurkan akan diluluskan secara berperingkat.

Menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND), isi rumah yang mempunyai warga emas berumur 80 tahun dan ke atas, serta mereka yang mempunyai warga emas berumur 60 hingga 64 tahun yang memerlukan bantuan dalam sekurang-kurangnya satu Kegiatan Kehidupan Harian (ADL), boleh memohon mulai 1 April.

Enam ADL ialah mandi/kebersihan diri, memakai pakaian, keupayaan untuk ke tandas, bergerak dan berjalan, makan, serta kawalan kencing dan buang air besar.

Isi rumah dengan warga emas berumur 70 tahun dan ke atas boleh memohon mulai 1 Julai, manakala isi rumah dengan warga emas berumur 65 tahun dan ke atas boleh berbuat demikian mulai 1 Oktober.

Untuk layak bagi program tersebut, isi rumah tersebut mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang anggota yang merupakan warga Singapura berumur 65 tahun dan ke atas, atau berumur antara 60 dengan 64 tahun dan memerlukan bantuan dalam sekurang-kurangnya satu ADL.

Isi rumah yang layak akan menerima surat mengenai proses permohonan Ease (Privet).

Jika permohonan berjaya, mereka boleh melantik kontraktor yang telah diluluskan untuk memasang kelengkapan mesra warga emas yang dipilih di rumah mereka.

Terdapat tujuh jenis kelengkapan mesra warga emas yang ditawarkan iaitu palang pemegang, rawatan lantai tahan gelincir, tanjakan satu anak tangga, susur tangan, alat penggera kebakaran rumah, pancuran bidet dan kerusi mandi.

Baucar yang diberikan akan membantu menampung 75 peratus daripada kos pemasangan kelengkapan berkenaan.

“Sebagai contoh, apabila anda memasang kelengkapan dan jumlah keseluruhannya ialah $800, pemerintah akan membayar $600, dan anda akan membayar $200, iaitu 25 peratus,” kata Encik Chee.

Baki baucer yang tidak digunakan boleh disimpan untuk digunakan pada lain hari.

Ease (Privet) merupakan program nasional di bawah inisiatif Sihat Menua SG, yang bertujuan mempertingkat persekitaran fizikal kediaman bagi menyokong penuaan aktif dan selamat dalam kalangan warga emas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg