Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program fiqh wanita: Langkah pertama tuju ketenangan ibadah  

Program dalam talian anjuran Masjid Alkaff Kampung Melayu sentuh asas solat perkara berkaitan bersuci, syarat sah ibadah, kesalahan lazim
Jan 16, 2026 | 5:30 AM
Program fiqah ini merupakan pembelajaran tersusun dan mesra peserta untuk membantu kaum wanita memahami asas solat secara jelas, tepat dan sahih.
Program fiqah ini merupakan pembelajaran tersusun dan mesra peserta untuk membantu kaum wanita memahami asas solat secara jelas, tepat dan sahih. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Program Fiqh Wanita di Masjid Alkaff Kampung Melayu, yang menumpukan perhatian pada Asas Solat, kembali dianjurkan khas untuk Muslimah susulan sambutan amat menggalakkan sebelum ini.

Program itu diwujudkan sebagai platform pembelajaran sistematik dan mesra peserta bagi membantu kaum Hawa memahami asas ibadah solat dengan lebih jelas, tepat dan berlandaskan ilmu fiqah yang sahih.

Dalam sesi kali ini, kaedah dalam talian diteruskan, sama seperti format sebelum ini, bagi memudahkan penyertaan Muslimah daripada pelbagai latar belakang, peringkat usia serta komitmen harian.

Pendekatan itu juga membolehkan peserta mengikuti pembelajaran dalam suasana lebih selesa, tanpa mengabaikan tanggungjawab keluarga dan kerjaya.

Selain membincangkan asas solat, program itu turut memberi penekanan kepada isu fiqah wanita yang sering dihadapi dalam kehidupan harian, termasuk perkara berkaitan bersuci, syarat sah ibadah dan kesalahan lazim yang perlu dielakkan.

Dengan penyampaian jelas, interaktif dan mudah difahami, program itu diharap dapat memperkukuh kefahaman serta keyakinan Muslimah dalam melaksanakan ibadah solat dengan sempurna.

Menurut Pegawai Dakwah (MRO), Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustazah NurulHuda Muhammad Zulkiffli, yang turut mengendalikan kelas tersebut, penguasaan asas solat merupakan keperluan yang amat penting dalam kehidupan Muslimah.

Hal ini bagi memastikan ibadah solat yang ditunaikan sah, sempurna serta dilaksana dengan penuh penghayatan.

“Program ini dirangka khusus untuk memenuhi keperluan Muslimah yang ingin memperkukuh kefahaman mengenai asas solat, merangkumi bacaan, tertib pergerakan, rukun serta isu fiqah yang sering timbul ketika menunaikan ibadah solat.

“Berdasarkan maklum balas peserta sebelum ini, modul kali ini turut diperkaya dengan perkongsian tambahan yang memberi tumpuan kepada persediaan menyambut Ramadan, termasuk permasalahan haid ketika berpuasa, antara tajuk yang paling kerap menimbulkan kekeliruan dalam kalangan Muslimah.

“Saya berpendapat kelas asas solat ini amat penting, terutamanya bagi mereka yang ingin memahami dengan jelas bacaan, susunan langkah solat serta permasalahan yang mungkin dihadapi ketika menunaikan ibadah ini,” kata Ustazah NurulHuda.

Program itu turut mengiktiraf peranan besar wanita sebagai suri rumah, ibu yang bekerja dan isteri yang sering memikul pelbagai tanggungjawab sepanjang Ramadan.

Golongan itu bukan sahaja menjadi tunjang dalam mengurus rumah tangga, malah memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana ibadah, keharmonian dan kasih sayang dalam keluarga.

Antara tajuk yang akan diketengahkan termasuk panduan amalan harian, peranan ahli keluarga, serta cara menghidupkan nilai kebersamaan dan sokongan emosi sepanjang bulan penuh keberkatan ini.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila imbas kod QR ini.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila imbas kod QR ini. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

SEKILAS:

Cara menderma bagi Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:

* Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.

* Bagi sumbangan, anda boleh membuat pemindahan bank ke dalam akaun OCBC: 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ pada ruangan ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

* Atau PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

* Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

* Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat, waktu operasi dari 9 pagi hingga 5 petang.

* Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok: @alkaffkm, Facebook: Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Instagram: @alkaffkgmelayumosque.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg