Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sakit buat tatu, sakit lagi buang tatu

Feb 16, 2025 | 5:30 AM
Cik Eriyana Subadi memeriksa krim kebas yang telah disapukan kepada tatu suaminya, Encik Jojo Sanchez Arriesgado, sementara menunggu sesi rawatan laser untuk menghapuskan tatu.
Cik Eriyana Subadi memeriksa krim kebas yang telah disapukan kepada tatu suaminya, Encik Jojo Sanchez Arriesgado, sementara menunggu sesi rawatan laser untuk menghapuskan tatu. - Foto BM oleh KHALID BABA

Sakit yang dirasakan semasa rawatan membuang tatu jauh lebih sakit daripada semasa membuat tatu.

Itulah pengakuan Encik Jojo Sanchez Arriesgado, 37 tahun, yang baru-baru ini ditemui Berita Minggu (BM) semasa sesi pembuangan tatu di klinik perubatan umum (GP), Pristine Medical Clinic, yang dikendalikan oleh Dr Khairul Abdul Rahman di Jurong West Street 41.

Ini merupakan sesi kedua daripada 15 sesi yang perlu dilalui Encik Jojo untuk menghapuskan kesemua tatu di kededua lengannya.

Kesemua sesi itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun, dengan selang dua bulan antara setiap sesi.

Menurut isterinya, Cik Eriyana Subadi, 39 tahun, Encik Jojo yang berasal dari Filipina, mengalami bengkak selama beberapa hari selepas sesi pertamanya.

“Selepas sesi pertama, ada kesan bengkak dan kembung di lengannya, tetapi beliau masih kuat dan masih mahu menjalani sesi itu,” kata Cik Eriyana.

Encik Jojo merupakan salah seorang peserta program Mudik Ke Hulu (MKH) yang dikendalikan Masjid Tentera Diraja bagi membantu mereka yang bertatu untuk pulang ke pangkal jalan dengan kursus 10 minggu, sebelum menerima subsidi bagi proses pembuangan tatu di klinik Pristine.

“Saya tidak kisah tentang tatunya, kerana semasa saya berkenalan dengannya, beliau bukan Muslim.

“Namun ibu saya menggalakkan suami saya untuk membuang tatu,” kata Cik Eriyana, yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital awam.

Encik Jojo sendiri bertekad untuk melalui sesi-sesi itu demi masa depan anak mereka yang baru lahir.

“Kami baru menimang cahaya mata yang kini berusia enam bulan.

“Saya mahu menjadi contoh teladan yang baik untuknya dan harap tidak ada tanda tatu nanti apabila dia membesar kelak,” jelas Encik Jojo, yang bekerja sebagai penyelam di Resorts World Sentosa (RWS).

Encik Jojo menyifatkan sesi pertamanya itu tersangat sakit. Memberi bayangan tahap kesakitan dari satu hingga 10, Encik Jojo berkata:

“Membuat tatu, sakitnya hanya tahap lima. Membuang tatu, lebih dari 15!” katanya, setelah krim kebas disapukan di tempat yang memerlukan rawatan laser.

Wartawan dapat menyaksikan sesi rawatan yang dijalankan namun rakaman gambar atau video tidak dibenarkan sewaktu sesi dijalankan mengikut peraturan pihak berkuasa.

Encik Jojo kelihatan tenang sebelum sesi bermula, namun apabila laser diajukan ke kulitnya, beliau mengerang kesakitan dan meminta Dr Khairul menghentikan rawatan.

Dr Khairul mengatakan tahap toleransi pada setiap individu berbeza dan reaksi pada rawatan sesi kedua kali ini agak mengejutkan.

Beliau juga berkongsi ada segelintir yang tidak meneruskan rawatan oleh kerana tidak tahan sakit.

“Kalau seseorang mempunyai tatu yang banyak, ia lebih sukar untuk dihilangkan dan tentunya masa rawatan dan pemulihan juga lebih panjang, boleh memakan masa yang lama,” terang Dr Khairul.

Encik Jojo mengaku tidak tahan akibat kesakitan dan tidak dapat meneruskan sesi itu pada hari tersebut.

“Kami baru menimang cahaya mata yang kini berusia enam bulan.  Saya mahu menjadi contoh teladan yang baik untuknya dan harap tidak ada tanda tatu pada badan saya nanti apabila dia membesar kelak.” 
Encik Jojo Sanchez Arriesgado, penyelam di Resorts World Sentosa (RWS).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg