Peluang menerajui inisiatif untuk menyumbang kembali kepada masyarakat merupakan sesuatu yang enggan dilepaskan Cik Norshimah Ismail.
Bahkan, ia detik yang tidak boleh dilupakan bagi ibu dua anak itu kerana ia memberikan kesan dan kesedaran mendalam terhadapnya.
Beliau merupakan antara tulang belakang yang mengetuai inisiatif Community Marketplace – iaitu usaha Persatuan Bank Singapura (ABS) bagi mengedarkan barangan keperluan kepada keluarga berpendapatan rendah.
Ia merupakan sebahagian daripada Program Menyumbang Kembali ABS atau ABS Community Giveback Programme bernilai $4 juta yang baru dilancarkan dalam satu majlis pada 8 Jun di HomeTeamNS Khatib Clubhouse.
Menurut kenyataan media ABS, program tersebut – menjangkau selama dua tahun (2024 hingga 2025) – bertujuan membantu 10,000 isi rumah daripada keluarga berpendapatan rendah selain meningkatkan usaha memerangi penipuan.
Sambil menahan sebak, Ketua Pegawai Operasi ABS berusia 58 tahun itu berkongsi kepada Berita Minggu (BM) selepas majlis pelancaran:
“Acara pengedaran barangan keperluan ini memberi saya banyak kesedaran. Ini kali pertama pasukan saya didedahkan kepada kegiatan seperti ini.
“Ia benar-benar membuka mata saya dan pasukan saya kerana kami tidak sangka yang sebenarnya, ramai juga golongan yang memerlukan di Singapura... Tetapi pada masa yang sama, sungguhpun ada yang terdiri daripada golongan ini, mereka tetap ingin menghulurkan bantuan dan sumbang apa yang termampu.”
Beliau memberi contoh pengendali minuman di sebuah kantin dalam lingkungan usia 80-an yang ingin menyumbang semua minumannya, tanpa sebarang bayaran.
Hasil pengalaman dan interaksi seperti inilah, tambah Cik Norshimah, yang menjadi pemangkin baginya untuk terus kekal menyumbang kembali, walau sekecil mana pun usaha tersebut.
Cik Norshimah, yang telah bekerja selama lebih 20 tahun bersama ABS, berkata persiapan untuk merealisasikan inisiatif ini bermula sejak 10 bulan lalu kerana ingin melihat bagaimana bank anggota ABS dapat menjalinkan kerjasama untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
Mentelah untuk menyelaras sekitar 50 bank dan lebih 1,500 sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan bank membuatkan persiapannya “sangat sukar”.
“Kami mendapatkan kerjasama bank-bank untuk hulurkan sumbangan dari segi kewangan dan kakitangan bagi menganjurkan inisiatif ini.
“Ia sangat sukar untuk menyelaras dan mengetuai pelbagai pihak, khususnya dengan pihak yang anda tidak begitu kenal. Untuk selaraskan usaha bersama pihak luar, rakan kongsi, kita perlu ambil pendekatan berhati-hati kerana harus peka dengan sensitiviti,” ujarnya.
Namun, beliau bersyukur kerana sungguhpun berhadapan cabaran sedemikian, pihak berkepentingan memberikan kerjasama mereka.
“Kami berkhidmat, tanpa rasa lelah, di samping kerja harian dan masa bersama keluarga, kepada masyarakat kerana kami yakin dan melahirkan harapan, satu hari nanti, mereka yang dibantu ini juga akan sumbang kembali,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg