Mendaki giatkan sokongan holistik bagi pelajar berbilang tahap keupayaan
Mendaki giatkan sokongan holistik bagi pelajar berbilang tahap keupayaan
Peralihan fokus Mendaki daripada sekadar menyokong pelajar berkeupayaan tinggi atau lemah akademik semata-mata
Badan bantu diri Yayasan Mendaki kini mengubah fokusnya, daripada hanya menyokong pelajar cemerlang atau yang bergelut dalam akademik, kepada memberikan sokongan lebih holistik kepada pelajar, merentasi pelbagai tahap kebolehan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber, berkata anjakan ini adalah tindak balas kepada perubahan keperluan dan permintaan masyarakat hari ini.
Beliau menjelaskan, peralihan daripada fokus akademik semata-mata adalah sebahagian daripada strategi Mendaki untuk meraikan kepelbagaian kebolehan pelajar dan kekal inklusif terhadap keperluan masyarakat Melayu/Islam yang sentiasa berkembang.
Encik Feroz berkongsi pandangan ini dalam sesi temu bual bersama media Bahasa Melayu tempatan baru-baru ini, sempena 100 hari pertamanya menyandang jawatan itu.
Beliau mengambil alih tugasan itu secara rasmi pada 1 November 2025 daripada Cik Zuraidah Abdullah, yang telah memimpin Mendaki sejak Mac 2020, selepas dipinjamkan daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) selama tiga tahun.
Sebagai cerminan perubahan fokus ini, Mendaki memperkenalkan dua teras baru di bawah program tuisyen utamanya, Program Pencapaian Mendaki (MAP), yang diumumkan semasa pembentangan pelan kerja lima tahun Mendaki pada 15 Januari.
Pelan kerja lima tahun Mendaki berpaksikan empat teras utama – membentuk pelajar yang berkeyakinan, membina keluarga yang utuh, menyediakan tenaga kerja yang sedia mendepani masa depan, dan membangunkan masyarakat yang progresif dan sejahtera.
Encik Feroz berkata sungguhpun teras akademik masih penting, MAP – yang sebelum ini dikenali sebagai Program Tuisyen Mendaki – kini turut menekankan penglibatan dan pengayaan. Ini bertujuan memberi sokongan dan bimbingan yang lebih menyeluruh kepada pelajar.
“Salah satu misi kami adalah untuk memperkukuhkan akses terhadap pendidikan kepada masyarakat Melayu/Islam Singapura.
“Kami fikir masanya agak tepat untuk… memperkukuhkan program itu dan pada masa yang sama, memperluaskan kurikulum program itu supaya lebih ramai lagi masyarakat Melayu/Islam dapat meraih manfaat daripada program tersebut,” ujarnya.
Beliau akur peralihan ini boleh dianggap “agak bercita-cita besar” namun ia tidak boleh ditangguhkan, lebih-lebih lagi dengan berlatarbelakangkan perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Selain subjek akademik seperti Matematik, dua teras baru ini akan mendedahkan pelajar kepada robotik dan AI digital, serta pementoran bersama golongan karyawan.
Mengenai pementoran, beliau menyatakan bahawa pelajar yang layak di peringkat Menengah Satu akan digandingkan dengan mentor daripada rangkaian karyawan Mendaki merentasi pelbagai industri. Ini agar pelajar ini dapat meningkatkan peluang mereka untuk mendahului persaingan.
“Penekanan dan penerapan aspek ini dapat memberikan peluang kepada anak-anak kita untuk terus kekal relevan (dengan peredaran masa),” katanya.
Selain peralihan tumpuan dari segi pendidikan pelajar, sesi wawancara itu menyaksikan beliau mengupas tentang peralihannya daripada bidang ketenteraan kepada memimpin badan Melayu/Islam dan falsafah kepimpinannya.
Beliau sebelum ini merupakan Ketua Inspektorat Keselamatan Tentera berpangkat Kolonel.
Encik Feroz juga menggariskan cabaran yang dihadapi Mendaki mengendalikan inisiatif sesuai untuk masyarakat Melayu/Islam dan penerapan unsur AI dan teknologi kepada inisiatif yang dijalankannya bagi pelbagai golongan masyarakat Melayu/Islam.

