Kecerdasan buatan (AI) dan teknologi terus mendorong perubahan dalam pelbagai industri serta pekerjaan, sekali gus membuka laluan baharu bagi golongan belia pada masa hadapan.

Walaupun pencapaian akademik mampu membuka pintu peluang pertama buat belia, tidak semua orang mempunyai akses yang sama rata kepada mentor, rangkaian kenalan dan pendedahan yang boleh membantu mereka mencorak langkah seterusnya.

Demikian menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, semasa berucap di majlis Anugerah Mendaki 2026 pada 17 Oktober.

Dalam ucapannya, Encik Zaqy berkata Mekar Belia dilancarkan untuk membantu anak muda yang telah menunjukkan potensi dan pencapaian, melangkah lebih jauh melalui pementoran, pendedahan dan peluang yang lebih luas.

“Kita mahu anak-anak muda melangkah lebih jauh… Namun, mereka perlu berbuat demikian di dalam dunia yang amat berbeza.

“AI dan teknologi sedang mengubah corak kehidupan dan pekerjaan. Industri dan pekerjaan berubah. Laluan yang dianggap tentu pada masa ini mungkin berbeza pada masa hadapan,” jelas Encik Zaqy, yang juga Pengerusi Mendaki.

Antara dapatan tinjauan itu, sebahagian belia menyuarakan keprihatinan bahawa walaupun peluang latihan amali, program pementoran dan panduan kerja sedia ada, ia tidak selalu mudah diakses.

“Dalam mempersiapkan belia mengemudi dunia yang berkembang pesat, ia juga penting untuk meneliti apakah yang mereka ingin memberitahu kami,” tambah Encik Zaqy.

Mekar Belia bakal menyokong belia berpotensi tinggi daripada kelompok 20 peratus pelajar terbaik daripada kohort nasional.

Sebagai permulaan, Encik Zaqy berkata program itu akan menghubungkan sekitar 200 pelajar dari peringkat sekolah menengah hingga ke prauniversiti dengan para pembimbing yang mampu memandu mereka mengharungi perjalanan pendidikan, pilihan kerjaya serta mengemudi peluang masa depan.

Sebagai contoh, peserta boleh menerima pendedahan secara langsung terhadap persekitaran pembelajaran di universiti menerusi perjalanan pembelajaran serta kem imersif selama empat hari pada Disember.

Pengalaman tersebut dijayakan oleh hubungan antara Mendaki dengan Sekolah Pendidikan Berterusan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat NUS (NUS SCALE).

Encik Zaqy mengumumkan pelancaran Mekar Belia semasa majlis tahunan Anugerah Mendaki 2026 yang berlangsung di Pusat Budaya Universiti Nasional Singapura.

Seramai 683 pelajar diiktiraf menerusi pelbagai Anugerah Mendaki atas kecemerlangan mereka dalam peperiksaan nasional, kejayaan meraih ijazah sarjana muda kepujian kelas pertama di universiti tempatan dan antarabangsa terkemuka atau pencapaian cemerlang di pelbagai peringkat pendidikan.

Ini termasuk 107 penerima Anugerah Cemerlang Mendaki yang meraih Kepujian Kelas Pertama atau keputusan setara di peringkat universiti.

Semasa ucapannya, Encik Zaqy turut menggesa belia yang hadir agar berkongsi pengalaman dan ilmu apabila berjaya kelak, demi membuka laluan untuk generasi seterusnya.

“Sama ada anda mencari bimbingan, atau sudah bersedia untuk membimbing dan berkongsi pengalaman dengan orang lain, kami mahu lebih ramai anak muda menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.

“Bukakan peluang seperti mana orang lain pernah membuka peluang untuk anda, kerana kejayaan kita menjadi lebih bermakna apabila kita dapat membantu orang lain maju bersama kita,” kata Encik Zaqy.

Mekar Belia merupakan sebahagian daripada Rangka Pendampingan Mekar Mendaki yang bertujuan menyokong belia di peringkat pembangunan yang berbeza, jelas Mendaki dalam satu kenyataan pada 17 Oktober.

Ia terdiri daripada empat teras – Mekar Diri, Mekar Belia, Mekar Kerjaya dan Mekar Kepimpinan – yang secara luasnya bertujuan untuk mengasah kemahiran kepimpinan dan daya ketahanan, serta menyediakan akses kepada peluang pendidikan dan laluan kerjaya.

Menerusi rangka tersebut, Mendaki ingin melengkapi golongan belia dengan bimbingan, rangkaian kenalan dan peluang yang diperlukan bagi merealisasikan aspirasi mereka.

Ini sekali gus memupuk pembimbing dan suri teladan yang dapat menabur bakti kepada masyarakat dan generasi seterusnya, tambah yayasan itu.

Mekar Diri fokus kepada membantu belia mengenal pasti kekuatan masing-masing, mengasah kemahiran asas kehidupan serta memberi dorongan demi mencapai aspirasi.

Ia merangkumi Program Masyarakat Peer bagi pelajar sekolah menengah di M³@Woodlands dan M³@Tampines serta Program Pementoran #amPowered untuk Program Pencapaian Mendaki serta pelajar Pendidikan Institut Teknikal (ITE).

Kemudian, Mekar Kerjaya membantu belia dalam pembangunan profesional serta dalam meneroka laluan kerjaya. Ini dijayakan melalui pendedahan secara langsung menerusi program seperti Pementoran pantas dan Pementoran Mara untuk golongan prasiswazah.

Di samping itu, Mekar Kepimpinan fokus kepada memupuk generasi pemimpin masyarakat yang seterusnya menerusi program pembangunan, pementoran serta penglibatan di peringkat masyarakat. Antara program utama teras ini ialah Mekar@Tunas.

Salah seorang penerima Anugerah Mendaki, Cik Sofia Samir Ng, menyambut baik pelancaran Mekar Belia.

Cik Sofia, berusia 19 tahun, berhasrat untuk menceburi industri kewangan setelah melalui pengajian ekonomi di Kolej Pengajian Bersepadu Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Ketika ditemui Berita Harian (BH), beliau meluahkan minatnya untuk memohon bagi pementoran di bawah Mekar Belia, dan menggunakan program itu sebagai wadah untuk berbakti kepada belia yang memerlukan pada masa hadapan.

Penerima Anugerah Mendaki, Cik Sofia Samir Ng.
Penerima Anugerah Mendaki, Cik Sofia Samir Ng. - Foto YAYASAN MENDAKI

Dalam pada itu, Encik Zaqy menekankan semula komitmen luas Mendaki dalam membantu golongan yang perlukan sokongan untuk mengharungi dugaan serta membina asas yang kukuh, di samping menyediakan lebih peluang untuk belia yang berpotensi tinggi.

“Sedang sesetengah pihak bersedia untuk mencabar diri dan meneroka peluang baharu, terdapat pula pihak yang memerlukan sokongan untuk mengatasi halangan serta mengukuhkan asas mereka.

“Tiada seorang belia yang seharusnya terpaksa mengetepikan pendidikan atau aspirasi atas kekangan kewangan,” kata Encik Zaqy.

Kini, Mendaki menyokong lebih 13,000 pelajar menerusi Skim Subsidi Yuran Pengajian Tinggi (TTFS), biasiswa, dermasiswa, anugerah dan pinjaman pelajaran.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti