Topik diikuti
Pergi ke BHkuProgram pementoran baru Mendaki perkasa belia berpotensi
Pendedahan kepada industri, rangkaian profesional serta peluang biasiswa dan latihan amali untuk pelajar sekolah menengah hingga prauniversiti
Program pementoran baru Mendaki perkasa belia berpotensi
Pelajar peringkat sekolah menengah hingga prauniversiti boleh meraih manfaat daripada pendedahan kepada industri, rangkaian profesional serta peluang biasiswa dan latihan amali menerusi program pementoran baharu Yayasan Mendaki.
Dinamakan Mekar Belia, inisiatif tersebut bakal menyokong belia berpotensi tinggi daripada kelompok 20 peratus pelajar terbaik daripada kohort nasional.
Sebagai permulaan, Mekar Belia akan menghubungkan sekitar 200 pelajar dari peringkat sekolah menengah hingga prauniversiti dengan para pembimbing yang mampu memandu mereka mengemudi laluan pendidikan, pilihan kerjaya serta peluang masa depan.
Bercakap semasa majlis Anugerah Mendaki 2026 pada 17 Oktober, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, berkata Mekar Belia akan membantu anak muda mencapai kejayaan lebih tinggi setelah menerima anugerah atau pencapaian dalam bidang akademik.
Mendaki melancarkan Mekar Belia untuk membantu anak muda berpotensi “melangkah lebih jauh melalui pementoran, pendedahan dan peluang yang lebih luas”, kata Encik Zaqy yang juga merupakan Pengerusi Mendaki.
Asas inisiatif Mekar Belia adalah untuk menghubungkan belia kepada seseorang dipercayai dan berpengalaman yang boleh berkongsi pengajaran, tambahnya.
“Ia juga bermakna mengenal pasti laluan kerjaya serta melangkah ke ruang yang sebelum ini terasa asing atau di luar jangkauan,” kata Encik Zaqy.
Sebagai contoh, Encik Zaqy menjelaskan peserta Mekar Belia boleh mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai persekitaran pembelajaran di universiti menerusi perjalanan pembelajaran serta kem imersif selama empat hari pada Disember ini.
Pengalaman tersebut dijayakan menerusi kerjasama antara Mendaki dengan Sekolah Pendidikan Berterusan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Universiti Nasional Singapura (NUS SCALE).
Mekar Belia juga sebahagian daripada Rangka Pementoran Mekar Mendaki, yang bertujuan menyokong belia dalam pembangunan di peringkat berbeza.
Ia merangkumi pembangunan kepimpinan, kerjaya, daya tahan serta keyakinan diri supaya golongan belia dapat mencapai potensi masing-masing dan berbakti kepada masyarakat.
Encik Zaqy mengumumkan program tersebut semasa majlis tahunan Anugerah Mendaki 2026 yang berlangsung di Pusat Budaya Universiti Nasional Singapura.
Seramai 683 pelajar diiktiraf menerusi pelbagai Anugerah Mendaki atas kecemerlangan mereka dalam peperiksaan nasional, kejayaan meraih ijazah sarjana muda kepujian kelas pertama di universiti tempatan dan antarabangsa terkemuka atau pencapaian cemerlang di pelbagai peringkat pendidikan.
Ini termasuk 107 penerima Anugerah Cemerlang Mendaki yang meraih Kepujian Kelas Pertama atau keputusan setara di peringkat universiti.
Majlis itu juga dihadiri Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Jeffrey Siow, selaku tetamu terhormat, serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Encik Feroz Akber serta Anggota Parlimen Melayu/Islam lain.