Seawal usia 13 tahun, Muhammad Farrel Muhammad Fazli, telah membuat tatu pertamanya di kaki dengan dakwat pen ekoran rasa bosan.
Namun, penyesalan mula menyelubungi hatinya selepas mendapat tatu besar di belakang badan pada 2025.
Farrel, 16 tahun, bimbang tatu itu akan merosakkan masa depannya dan menjadi teladan buruk kepada dua adiknya.
Mengikut nasihat ayahnya, Farrel menyertai program, ‘Mudik Ke Hulu (MKH), di Masjid Tentera Diraja.
Program itu membantu individu bertatu untuk kembali ke pangkal jalan, sambil menyediakan subsidi untuk membuang tatu.
Program itu menyokong golongan rentan seperti belia bermasalah dan bekas banduan.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), Farrel bersyukur bukan sahaja kerana berpeluang membuang tatu, malah turut diberikan wadah untuk memperdalam kerohanian dan membina sahsiah diri.
Pada 16 Januari, Memorandum Persefahaman (MOU) telah dimeterai antara masjid tersebut dengan Pusat Kulit Nasional (NSC).
Kerjasama itu bertujuan memperluas program 20 tahun itu agar lebih ramai peserta dapat meraih manfaat.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menekankan pentingnya kerjasama itu dalam mengukuhkan sistem sokongan menyeluruh bagi bekas pesalah.
Dalam ucapannya, Dr Faishal berkata: “Melalui kerjasama ini, kami akan memperkukuhkan usaha menyokong golongan yang terjejas dalam kalangan kita, khususnya mereka yang terkesan akibat penyalahgunaan dadah dan pemenjaraan.
“Kami juga mengambil langkah positif untuk membina dan kekal sebagai masyarakat yang penyayang.
“Namun yang lebih penting, khususnya dalam konteks Singapura yang berbilang kaum, ia membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu.”
Beliau menambah dengan kerjasama itu, ia meyakinkan penerima bantuan MKH bahawa mereka disokong dalam setiap langkah pemulihan dan penyepaduan semula ke dalam masyarakat.
Pengarah Eksekutif NSC, Profesor Madya Chua Sze Hon, berkata MOU tersebut “mencerminkan komitmen bersama untuk mengambil berat terhadap masyarakat serta menyokong mereka yang memerlukan”.
“Melalui inisiatif ini, anggota masyarakat Islam yang ingin menjalani pembuangan tatu, sama ada atas sebab peribadi atau agama, kini boleh melakukannya dengan selamat di NSC, pada kos yang berpatutan dan dengan penuh maruah,” tambahnya.
Program MKH ditubuhkan pada 2006 oleh Masjid Tentera Diraja di Clementi dengan sokongan klinik perubatan umum (GP), Pristine Medical Clinic serta Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Hampir 1,000 peserta telah meraih manfaat daripada program tersebut setakat ini, kata Pengerusi Masjid Tentera Diraja, Encik Amir Ibrahim.
Terdapat 15 peserta dalam program MKH bagi 2026.
Dengan termeterainya MOU itu, peserta kini boleh memilih untuk menjalani proses pembuangan tatu sama ada di NSC atau di Pristine Medical Clinic, selepas melalui 12 kursus di bawah program MKH.
Peserta yang lulus daripada 12 kursus dan layak untuk perkhidmatan pembuangan tatu, akan menerima subsidi sehingga 50 peratus, berdasarkan pendapatan per kapita (PCI) masing-masing di bawah Skim Bantuan MKH.
Demi menggalakkan peserta meneruskan rawatan pembuangan tatu secara tekal, meskipun berdepan kekangan kewangan, bayaran boleh dibuat secara ansuran selama enam atau 12 bulan.
Pemeteraian MOU itu juga membolehkan peserta mengakses teknologi laser Pico terkini apabila memilih untuk menjalani proses pembuangan tatu di NSC.
Teknologi itu mampu memberi pengalaman pembuangan tatu yang lebih selesa dan berkesan.
Encik Amir menambah bahawa pihak MKH berhasrat menggunakan teknologi terkini bagi memperkukuh perkhidmatan pembuangan tatu sempena ulang tahun ke-20 program itu.
“MKH berhasrat meningkatkan rawatan pembuangan tatu, memastikan ia mematuhi piawaian keselamatan dan keberkesanan moden sambil mengekalkan tahap penjagaan profesional yang tinggi, satu pendekatan yang menjadi asas kerjasama antara Masjid Tentera Diraja dengan NSC.
“Dengan merapatkan jurang antara kepakaran perubatan dengan khidmat masyarakat, kerjasama ini meningkatkan kapasiti rawatan serta membolehkan lebih ramai peserta mendapat manfaat daripada program tersebut,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg