Orang kurang upaya (PwD) dewasa bakal menerima sokongan untuk hidup berdikari dalam masyarakat pada tahun-tahun akan datang – di samping perkhidmatan penjagaan dan bimbingan untuk memenuhi keperluan mereka sepanjang hayat.
Sehingga 250 individu akan menyertai program perintis yang dikenali sebagai Program Kehidupan Berupaya (ELP) dari 2025 hingga 2028, yang membolehkan mereka mendiami kelompok flat sewa Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) atau menerima sokongan di rumah mereka sendiri.
Sokongan itu termasuk bimbingan dalam kemahiran sosial, penjagaan bagi aktiviti kehidupan harian dan pemantauan di tapak, bergantung pada keperluan mereka.
Demikian dikongsi Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, semasa Pesta Pembelajaran Enabling Academy 2024 yang diadakan di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) di Paya Lebar, pada 16 September.
ELP bertujuan membantu mereka berintegrasi dalam masyarakat, memberi mereka peluang terus berdikari, dan menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik di luar penjagaan institusi.
Kumpulan sasaran bagi program perintis itu adalah PwD dewasa dengan keperluan rendah hingga sederhana yang memerlukan sokongan untuk hidup dan mengambil bahagian dalam masyarakat.
Antara perkhidmatan sokongan lain yang mereka akan terima adalah pengurusan rumah dan pelibatan komuniti, yang disesuaikan dengan ketidakupayaan khusus mereka.
Ia adalah salah satu cadangan oleh Pasukan Petugas Hidup Masyarakat untuk Orang Kurang Upaya (TCL) yang telah ditubuhkan pada 2022.
Pasukan itu terdiri daripada 18 anggota, dipengerusikan bersama pengarah eksekutif ARC, Cik Jacelyn Lim, dan pengerusi kanan bagi direktorat dasar pembangunan anak keluarga, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Cik Cynthia Leow.
Menurut laporan pasukan petugas TCL bagi PwD 2024, pusat dan rumah jagaan menyediakan penjagaan dan penyeliaan penting dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan mereka.
Namun, “persekitarannya yang berstruktur sering menyekat kebebasan penduduk untuk melibatkan diri sepenuhnya dengan masyarakat”, lantas ia perlu “meluaskan rangkaian pilihan hidup bermasyarakat di sepanjang kontinum model hidup yang tersedia untuk menyokong orang kurang upaya untuk terus hidup dalam masyarakat”.
Berucap dalam acara tersebut, Encik Chua berkata: “Menerusi pertemuan kami, orang kurang upaya (PwD) dan penjaga telah meminta model perumahan dan perkhidmatan alternatif agar orang kurang upaya dapat terus menjalani kehidupan dalam masyarakat selama mungkin, malah apabila ahli keluarga dan penjaga utama mereka telah meninggal dunia.”
Dalam satu kenyataan pada 16 September, MSF berkata “ramai penjaga telah menyatakan ketidakpastian tentang pengaturan hidup jangka panjang anak-anak kurang upaya dewasa mereka, dan keutamaan mereka untuk mereka tinggal dalam komuniti jika mereka boleh”.
Di samping itu, untuk menyokong orang kurang upaya dan penjaga mereka dengan lebih baik merentasi peringkat kehidupan, pasukan petugas mengesyorkan agar rangka kerja perancangan berpusatkan orang dan keluarga peringkat sektor diwujudkan.
Ini akan membantu mereka mengenal pasti dan mengemas kini matlamat dan rancangan mereka, serta mengaktifkan sokongan daripada keluarga, komuniti dan perkhidmatan tepat pada masanya, kata MSF.
Kos yang berkaitan dengan program perintis itu akan diselaraskan berdasarkan keadaan kewangan individu atau keluarga yang terlibat. Butir-butir mengenai kos masih diusahakan buat masa ini, tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg