Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program PPIS Vista Sakinah bantu klien tangani isu rumah tangga

Jan 21, 2024 | 5:30 AM
BANTU HADAPI CABARAN RUMAH TANGGA:  Pekerja sosial kanan PPIS Vista Sakinah, Cik Mardiana Mohd Isa, berkata kewujudan program persediaan perkahwinan seperti Program Memupuk Kasih, berjaya membuatkan klien lebih berhati-hati terhadap jangkaan perkahwinan, serta sedar bagaimana pengalaman lalu dapat mempengaruhi atau membantu perkahwinan itu.
BANTU HADAPI CABARAN RUMAH TANGGA:  Pekerja sosial kanan PPIS Vista Sakinah, Cik Mardiana Mohd Isa, berkata kewujudan program persediaan perkahwinan seperti Program Memupuk Kasih, berjaya membuatkan klien lebih berhati-hati terhadap jangkaan perkahwinan, serta sedar bagaimana pengalaman lalu dapat mempengaruhi atau membantu perkahwinan itu. - Foto BH

Program Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) Vista Sakinah memainkan peranan besar sebagai sistem sokongan yang membantu klien meluahkan tekanan atau kebimbangan, berhubung masalah rumah tangga, khususnya bagi pasangan yang berkahwin semula dan keluarga tiri.

Pekerja sosial kanan PPIS Vista Sakinah, Cik Mardiana Mohd Isa, menerangkan, bagaimana program di sana dapat menangani cabaran dan tekanan tersebut.

“Dengan kewujudan program persediaan perkahwinan seperti Program Memupuk Kasih, klien lebih berhati-hati terhadap jangkaan perkahwinan semula, serta sedar bagaimana pengalaman lalu dapat mempengaruhi atau membantu perkahwinan itu.

“Mereka juga faham tentang cabaran seperti isu penyesuaian diri dalam keluarga tiri. Adakalanya, terdapat ibu bapa tiri yang menetapkan peraturan baru, tanpa memahami norma keluarga anak-anak tiri yang telah wujud sehingga mengundang kepada masalah tekanan.

“Justeru, pasangan perlu menyokong satu sama lain dalam mengukuhkan perjalanan perkahwinan semula mereka. Bentuk hubungan yang baik dengan anak-anak, berbanding menetapkan peraturan,” jelas Cik Mardiana.

Pembimbing program persediaan perkahwinan di PPIS Vista Sakinah sejak 2007, Ustaz Hidayat Ismail, turut mengulas beberapa perkara penting tentang pasangan yang mendirikan rumah tangga sekali lagi.

Beliau berkata, perkahwinan semula pasti berbeza daripada rumah tangga kali pertama, memandangkan ia melibatkan kehadiran anak-anak pasangan.

“Pasangan harus mengadakan perbincangan dan mendapatkan bantuan lebih awal, jika mereka menghadapi sebarang isu mengenai keluarga tiri atau ibu bapa tiri.

“Bahkan, pasangan-pasangan boleh mengambil peluang daripada program-program yang disediakan PPIS Vista Sakinah, di samping mereka juga akan sentiasa dibimbing oleh kadi/naib kadi, khususnya pada dua tahun pertama perkahwinan mereka.

“Perkara paling utama adalah untuk setiap pasangan memahami bahawa anak-anak adalah anugerah Allah swt bahkan setiap daripada kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt atas segala yang ada di bawah jagaan kita,” tambah ustaz.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg