Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Masjid Hasanah akan memperkenalkan pelbagai daya usaha baru bagi memastikan keselesaan serta penglibatan menyeluruh masyarakat setempat terutama golongan belia menjelang Ramadan 2026.
Dalam usaha memperkasa penglibatan golongan belia, Pegawai Dakwah Masjid Hasanah, Ustaz Muhammad Fazli Naim, berkata:
“Masjid Hasanah akan menganjurkan Program Perkhemahan Belia pada 13 dan 14 Mac 2026, iaitu dari Jumaat hingga Sabtu, dengan kerjasama Masjid Hang Jebat.”
Program kerjasama dengan belia Masjid Hang Jebat ini bertujuan membentuk sahsiah, kepimpinan dan ukhuwah dalam kalangan remaja, selain mendekatkan mereka dengan peranan masjid.
“Antara matlamat utama program belia ini ialah memberi pendedahan kepada kerja kemasyarakatan sepanjang Ramadan seperti pengagihan bubur, penyediaan iftar/buka puasa dan sahur untuk jemaah,” jelas Ustaz Muhammad Fazli yang turut melibatkan diri dalam pembangunan belia.
Aspek pengukuhan ilmu dan kerohanian Islam turut diberi penekanan menerusi pengisian tazkirah, solat berjemaah serta qiamullail.
“Pada masa yang sama, kami ingin melibatkan belia dalam kegiatan santai yang menyeronokkan dan dekat dengan alam semula jadi, yang akan diadakan di salah sebuah masjid kampung di Singapura, bagi mengeratkan hubungan serta membina kenangan bermakna bersama rakan sebaya,” katanya.
Pendekatan menyeluruh ini diharapkan dapat menjadikan masjid sebagai ruang yang inklusif dan relevan untuk semua lapisan masyarakat.
“Kami ingin memastikan semua peringkat umur, daripada kanak-kanak, belia hinggalah keluarga, merasakan masjid sebagai pusat ibadah, pembelajaran dan penyatuan ummah, khususnya sepanjang bulan Ramadan,” ujarnya.
Masjid Hasanah di Teban Gardens mengambil pendekatan proaktif dengan melibatkan masyarakat setempat. Mereka memperkenalkan program ziarah dari rumah ke rumah di kawasan sekitar, bertujuan menyampaikan risalah lengkap program Ramadan dan, pada masa yang sama, menjemput penduduk agar sama-sama mengimarahkan masjid.
Turut disediakan ialah khidmat penjagaan kanak-kanak bagi membolehkan ibu bapa menunaikan solat tarawih dengan lebih tenang.
“Khidmat ini disasarkan kepada kanak-kanak berusia lima tahun hingga lapan tahun dan akan dikendalikan oleh guru-guru prasekolah yang berkelayakan. Anak-anak akan diisi dengan kegiatan berfaedah seperti mewarna, bercerita serta seni dan kraf bertemakan Ramadan,” kata Pegawai Kanan Dakwah dan Pegawai Pembangunan Masjid Hasanah, Ustaz Muhammad Syahid Salleh.
Beliau turut berkongsi, bulan Rejab merupakan masa terbaik untuk umat Islam memulakan persediaan rohani sebelum memasuki Ramadan.
Katanya: “Ia medan latihan awal untuk membina disiplin ibadah dan memperbaharui niat. Melalui persiapan dari awal, kami berharap jemaah dapat memasuki Ramadan dengan kefahaman yang jelas serta semangat yang tinggi.”
Pelbagai program lain seperti Kelas Asas Fardu Ain serta Kuliah Persiapan Ramadan yang merangkumi asas ibadah seperti solat, puasa dan zakat turut disediakan.
Untuk pertanyaan tentang program belia atau program Ramadan, sila hubungi pejabat Masjid Hasanah di talian 6561-7990 atau melalui e-mel info@hasanah.mosque.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg