Program ‘Santunan Emas’: Masjid Al-Muttaqin guna pendekatan holistik
Program ‘Santunan Emas’: Masjid Al-Muttaqin guna pendekatan holistik
Bimbingan agama dengan sokongan ke arah penuaan aktif dikendali dengan harapan warga emas nikmati kehidupan sejahtera, bermakna dan kekal berdaya
Program ‘Santunan Emas’, anjuran Masjid Al-Muttaqin, bukan sekadar sesi kuliah, sebaliknya merupakan pendekatan menyeluruh yang menyepadukan pembelajaran serta kegiatan yang merangkumi aspek kognitif dan fizikal, di samping memperkukuh dimensi sosial dan rohani.
Program ini menggabungkan bimbingan agama dengan sokongan ke arah penuaan aktif, dengan harapan agar warga emas dapat terus menikmati kehidupan yang sejahtera, bermakna dan kekal berdaya, selaras dengan kemampuan masing-masing.
Pegawai Pembangunan Masyarakat di Masjid Al-Muttaqin, Ustaz Muhd Isa Zaini, berkata:
“Ia dilakarkan untuk warga emas berusia 50 tahun ke atas, dan dijalankan bersama rakan kerjasama seperti kedai buku agama dan penyedia ruang kursus atau kegiatan agama, Ma:een, dan Pusat Penuaan Aktif Muhammadiyah (MAAC).”
Tambahnya, program ini juga melibatkan penjaga (caregivers) kerana pada hakikatnya, ramai warga emas bergantung pada anak, pasangan, atau ahli keluarga lain untuk kegiatan harian mereka dan menghadiri janji temu kesihatan.
Bermula Mei 2025, Masjid Al-Muttaqin juga bekerjasama dengan sayap jangkauan bantuan dan sosial Gereja The Methodist, Methodist Welfare Services, dalam menganjurkan sesi ‘Menjahit & Patchwork (Jahitan Tampal)’, khas untuk warga emas.
Kegiatan ini mendapat sambutan sangat menggalakkan, terutamanya dalam kalangan warga emas wanita.
Selain itu, kerjasama bersama Muhammadiyah turut diperkukuhkan melalui penganjuran sesi senaman di masjid, dengan pelbagai kegiatan seperti senaman kerusi (chair exercises) dan senaman menggunakan tali regangan, atau stretch-band, bagi membantu warga emas kekal aktif dan sihat mengikut kemampuan mereka.
santunanemas.sg: Portal rujukan warga emas dan penjaga
Sebagai lanjutan kepada program ini, portal santunanemas.sg dilancarkan bagi memperkasa warga emas serta penjaga dengan sumber kerohanian dan panduan penuaan aktif.
“Laman ini disediakan bagi memperkasa warga emas dan penjaga dengan sumber kerohanian serta panduan penuaan aktif,” jelas Ustaz Isa.
Antara manfaat yang boleh diraih oleh penjaga
1. Rujukan mudah: Rakaman kuliah dan bahan kerohanian boleh diakses pada bila-bila masa, khususnya bagi mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal atas faktor kesihatan atau kekangan masa.
2. Panduan sokongan penuaan aktif: Penjaga, bahkan masyarakat umum boleh mengenal pasti pendekatan yang membantu warga emas kekal aktif, dengan arah yang lebih jelas dan praktikal.
3. Sokongan emosi dan sosial: Penjaga tidak keseorangan dalam mengharungi cabaran menjaga insan tersayang, di samping menyemai empati dalam kalangan masyarakat.
Ikuti reruai Roadshow ‘Santunan Emas’ sentuh cabaran warga emas
Masjid Al-Muttaqin bakal menganjurkan satu acara jerayawara, Roadshow ‘Santunan Emas’, yang diadakan di Masjid Darul Ghufran pada Sabtu, 31 Januari 2026, dari 10 pagi hingga 12 tengah hari.
Selain membincangkan fiqh ibadah seperti solat dan puasa, acara ini menyentuh pelbagai persoalan warga emas yang berkait rapat dengan kehidupan harian dan emosi, termasuk isu kesihatan dan tenaga, kesunyian dan kerinduan, hubungan kekeluargaan, minda dan memori, serta persediaan menghadapi fasa usia lanjut dengan lebih tenang dan bermakna.
Manfaatkan Ramadan ikut kemampuan
Usia yang lanjut tidak seharusnya mengecualikan seseorang daripada menikmati musim amal dan keberkatan ini. Kata Ustaz Isa, keikhlasan, keimanan dan pengharapan, apabila disulami dengan kebijaksanaan dan sikap realistik, akan menjadikan bulan mulia ini lebih bermakna.
Untuk warga emas
1. Pilih ibadah utama, atau “core”, yang mampu dibuat setiap hari, contohnya zikir ringkas, doa selepas solat, dengar tazkirah 5 hingga10 minit, atau baca beberapa ayat Al-Quran.
2. Dengarkan badan, pertimbangkan nasihat penjaga: Kalau mudah letih, buatlah ibadah dalam slot-slot kecil. Lagi selamat dan lebih mudah istiqamah. Ketahuilah penjaga turut prihatin tentang hal ehwal anda. Jika dinasihati agar tidak membuat kegiatan tertentu kerana alasan yang munasabah, seeloknya dituruti nasihatnya.
3. Tuhan Maha Menghargai: Ibadah dalam usia lanjut tetap bernilai di sisi-Nya, walaupun dilakukan dalam keadaan terbatas.
4. Rancang makan/minum dan pengambilan ubat: Bincang dengan doktor atau ahli keluarga supaya ia lebih teratur dan selamat.
Untuk penjaga
1. Tidak boleh dinafikan tugas seorang penjaga sememangnya sangat mencabar, dan mengharunginya dalam keadaan berpuasa atau dengan perubahan rutin pada bulan suci ini barangkali merumitkan keadaan bagi sebahagian daripada mereka.
2. Ibadah bukan terhad di tikar solat: Tanamkan dalam diri bahawa segala pengorbanan, dan penat lelah menjaga insan tercinta dengan ikhlas adalah satu ibadat yang agung dan dijanjikan ganjaran besar. Percayalah, anda tidak ketinggalan dalam mendulang pahala pada bulan mulia ini.
3. Ketepikan masa untuk diri sendiri: Usah mengabaikan diri sendiri dek sibuk mengurus orang lain. Sebagai contoh, mengetepikan beberapa minit sebelum sahur untuk amalan kerohanian anda sebelum memulakan hari.
4. Teman ibadah: Seperti membaca doa bersama orang di bawah jagaan anda, dengar kuliah bersama, atau bertadarus bersama. Walau singkat, ia sangat bermakna bagi anda dan mereka.
Kit Jagaan Hospital
Masjid Al-Muttaqin juga merancang memulakan usaha kutipan dana bagi pelancaran Kit Jagaan Hospital (Hospital Care Kit) pada suku keempat 2026.
Kit ini bukan sahaja ditujukan kepada pesakit, malah turut memberi sokongan rohani dan emosi kepada para penjaga. Antara kandungan yang dirancang termasuk sejadah, botol wuduk, buku doa pilihan, buku Inspirational Quotes & Reflective Journal, debu tayamum serta sumber bantuan penjagaan.
SEKILAS
Untuk keterangan lanjut mengenai acara ‘Santunan Emas’ di Masjid Darul Ghufran pada Sabtu, 31 Januari 2026 ini, sila hubungi Masjid Al-Muttaqin di talian 6454-7472.

