Sebagai seorang yang pendiam dan lebih suka memendam, kegiatan menulis lagu telah memberikan June (bukan nama sebenar) satu ruang untuk beliau meluahkan perasaan serta mencari ketenangan diri.
Lantaran itu, remaja 15 tahun itu sering ghairah untuk menjalani program mingguan menulis lagu, ‘Songwriting for Hope’ yang dianjurkan Rumah Tumpangan Remaja Perempuan Singapura, yang didiaminya sekarang.
Setiap sesi dalam program yang dianjurkan dengan kerjasama Esplanade, menjadi ruang untuk menyalurkan emosinya, khususnya kesedihan terhadap pemergian datuk tercinta yang dilahirkan dalam lirik lagu ditulisnya.
Karya beliau telah dipersembahkan di dewan pentas Esplanade pada 21 Ogos, dalam satu acara khas.
Menceritakan kisahnya, June berkata bahawa zaman kecilnya telah dibayangi masalah keluarga manakala dirinya terjerumus dalam masalah dadah.
Walaupun dijaga oleh datuk dan neneknya disebabkan oleh ibu bapanya yang berada dalam penjara, June berkata beliau tetap terdedah kepada pengaruh negatif rakan sebaya sehingga terlibat dalam kes buli, percubaan mengambil dadah dan rusuhan.
Apabila ditanya tentang inspirasi di sebalik lirik lagunya, June berkata lirik tersebut ditulis untuk arwah datuknya, yang dahulu menjadi tempat beliau meluahkan kesedihan semasa menghadapi cabaran dalam kehidupan.
“Saya bayangkan arwah datuk saya dengar lagu ini, dan saya boleh kongsi perasaan paling dalam saya dengan dia.
“Dalam lirik saya, saya curahkan rasa kesal dengan apa yang saya buat dulu, serta meminta maaf dengan ikhlas,” kata June.
Dengan menggunakan aplikasi GarageBand, June menyusun melodi dan menggubah lagu ciptaannya sendiri itu.
Selain June, seorang lagi remaja perempuan yang dikenali sebagai Amy (bukan nama sebenar), 15 tahun juga berkongsi bahawa sesi menulis lagu tersebut memberi golongan sepertinya peluang untuk merasa lebih dekat dengan insan yang mereka tujukan lagu itu.
Amy telah menghasilkan sebuah karya lagu dengan melodi rancak yang menerapkan elemen rap.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg