Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Project Happiness’ Jamiyah pancar sinar bahagia bagi suami isteri sempena Krismas

Dec 25, 2025 | 8:05 PM
Katil ‘queen size’ dan sofa baru antara perabot yang dihadiahkan kepada Encik Marshall Garnell yang menetap di rumah sewa sebilik di Chai Chee sempena Krismas.
Katil ‘queen size’ dan sofa baru antara perabot yang dihadiahkan kepada Encik Marshall Garnell yang menetap di rumah sewa sebilik di Chai Chee sempena Krismas. - Foto JAMIYAH SINGAPURA

Sambutan Krismas bagi Encik Marshall Garnell dan isterinya, Cik Carmelita Ballesteros Garnell, menjadi lebih bermakna apabila pasangan tersebut meraikannya di rumah sewa sebilik mereka yang kini terisi dengan perabot baru dan dinding yang indah dicat semula.

Pasangan suami isteri yang menetap di kejiranan Chai Chee itu dipilih sebagai penerima bantuan edisi Krismas ‘Project Happiness’, satu inisiatif oleh Jamiyah Singapura dengan kerjasama Persatuan Serani.

Berkongsi kegembiraan melihat rumahnya yang telah diubah suai, Encik Marshall berkata:

“Dengan pengubahsuaian baru ini, saya dapat melihat perbezaan yang begitu ketara. Rumah ini kelihatan sangat cantik.

“Saya berharap dapat mengajak semua orang datang untuk melihatnya dan menyaksikan sendiri apa yang telah dilakukan terhadap rumah ini.

“Ia telah banyak berubah, dan perubahan ini juga telah banyak mengubah diri saya.”

Pada usia 85 tahun, Encik Marshall bergelut dengan cabaran kesihatan yang menjejas penglihatan, pergerakan dan pendengarannya.

Bahkan, beliau memerlukan tongkat untuk berjalan dek pergerakan yang terbatas, rabun separa dan tidak lagi mampu untuk bekerja.

Justeru, isterinya Cik Carmelita, 63 tahun, yang bekerja sepenuh masa di Swensen’s, terpaksa menjadi pencari nafkah tunggal bagi mereka.

Demi menampung keperluan asas seharian, mereka terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan tambahan sebanyak $300 daripada Persatuan Serani.

Berkat tajaan Jamiyah Singapura yang bernilai sebanyak $1,100, Encik Marshall dihadiahkan dengan perkakas elektrik dan perabot baru seperti televisyen, lampu siling dengan kipas, katil ‘queen size’, langsir dan sofa.

“Bahagian yang paling saya hargai ialah kipas, katil dan bilik tempat saya duduk. Semuanya sangat selesa.

“Itulah bahagian yang paling terbaik sekali,” tambah Encik Marshall ketika ditemui pihak media pada 22 Disember semasa majlis penyerahan kunci.

Turut hadir di majlis itu ialah Anggota Parlimen GRC East Coast, Encik Tan Kiat How.

Encik Tan berkata antara lain, inisiatif sedemikian adalah satu contoh yang memaparkan semangat Singapura, di mana masyarakat yang berbeza dapat saling membantu.

“Bagi ramai penduduk, khususnya mereka yang berada dalam keadaan lebih rentan, musim perayaan boleh menjadi waktu yang penuh dengan kesunyian.

“Melalui projek sebegini, kita ingin mengingatkan segenap lapisan masyarakat, tiada siapa yang ketinggalan menikmati keceriaan musim perayaan dan kegembiraan dapat dikongsi bersama seluruh masyarakat,” tambah Encik Tan, yang juga Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan).

Berkongsi pendapat serupa ialah Timbalan Ketua Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah), Encik Hairil Amrin, yang berkata kerjasama dengan Persatuan Serani adalah contoh bagaimana masyarakat yang berbeza boleh bekerjasama tanpa mengira bangsa dan agama.

Encik Hairil menambah edisi ‘Project Happiness’ ini berlainan berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana sokongan lebih menyeluruh akan diberikan kepada penerima bantuan selama enam bulan setelah melalui projek pengubahsuaian melalui khidmat pekerja sosial Jamiyah Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg