Satu inisiatif yang menyokong pasangan Islam dalam persediaan mereka untuk berkahwin dan kehidupan berkeluarga telah membantu sekitar 2,000 pasangan sejak ia diperkenal pada 2020.
Projek Arif itu adalah kerjasama antara Yayasan Temasek, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan AMP Singapura.
Perkembangan mengenai projek itu diumumkan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam satu majlis untuk meraikan usaha empat tahun Projek Arif, di Hotel Furama Riverfront pada 22 September.
Projek tersebut bertujuan membantu pasangan Islam yang baru berkahwin dalam meningkatkan kesejahteraan ibu dan anak menerusi pendekatan holistik melibatkan aspek perubatan, sosial, dan agama.
Dr Faishal berkata projek itu memberi pasangan akses kepada pelbagai sokongan pakar yang disediakan oleh institusi ini.
“Bukan sahaja pasangan boleh merujuk kepada doktor dan jururawat; bahkan mereka boleh menghubungi pekerja sosial perubatan Projek Arif dan Naib Kadi atau Kadi untuk sebarang pertanyaan dan nasihat sosio-agama yang diperlukan.”
Antara bantuan yang disediakan buat ibu ialah cara penjagaan kesihatan sebelum hamil, penjagaan sewaktu hamil, penyediaan untuk bersalin, penyusuan ibu dan kesihatan mental.
Tambahan dari itu, pasangan boleh mendaftar untuk bertemu dan bertanya kepada doktor Projek Arif mengenai isu kesihatan dan perkhidmatan seperti sesi pengajaran tentang penyusuan dan ceramah pendidikan awam.
Salah satu program kesihatan terbaru disediakan buat para bapa muda yang akan meliputi aspek kesihatan dan rohani dalam perjalanan menjadi bapa baru.
Ketua KKH bagi Projek Arif, Profesor Madya Suzanna Sulaiman, berkata Projek Arif memberi ruang selamat untuk ibu bapa mengenai isu anak-anak dan lebih penting sekali ia terbuka kepada setiap lapisan masyarakat.
“Jadi, apabila mereka menyertai (program Projek Arif), mereka bertemu rakan dan klien lain, jadi setiap daripada mereka berada dalam keadaan sama. Bukan itu sahaja, mereka saling membantu.
“Projek Arif sebenarnya menyediakan ruang selamat untuk mereka mendapatkan bantuan. Sebagai rakan, mereka sebenarnya saling membantu untuk menjadi lebih baik secara individu,” katanya, yang juga ketua dan konsultan kanan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi KKH.
Projek Arif juga bahagian penting Bersamamu, satu daya usaha di bawah Bidang Tumpuan Satu (FA1) M3, iaitu menyokong perkahwinan, keibubapaan dan pembangunan awal kanak-kanak.
Semasa sesi Bersamamu, Naib Kadi atau Kadi yang terlatih di bawah Projek Arif akan berkongsi lebih lanjut mengenai program itu kepada pasangan.
Mereka akan dilatih oleh Ustaz Ahmad Khushairi Abidin, yang mempunyai Sarjana Kaunseling dengan Universiti Monash serta Ustaz Mohamed Tajuddin Noor, yang baru sahaja mendapatkan Diploma Kaunseling dari Institut Pengajian Tinggi Kaplan.
Digelar sebagai Master Trainers di AMP, mereka menyediakan kaunseling sosioagama dan mengendalikan bengkel sosiopendidikan untuk ibu bapa muda dan benefisiari.
Ini di samping peranan mereka yang lain termasuk membolehkan penyelarasan yang lebih lancar antara masjid, Kadi dan Naib Kadi.
Kini, 24 Naib Kadi sudah dilatih untuk mengenal pasti pasangan berisiko tinggi dan rendah dari sudut sosial, kesihatan dan kerohanian.
Naib kadi kemudian akan menggalak pasangan berisiko menyertai Projek Arif.
Setakat ini, lebih 3,200 pasangan yang dinikahkan oleh Naib Kadi ini telah diberitahu mengenai pakej sumber Projek Arif, dan 2,000 daripada mereka sudah turut serta dalam program yang ditawarkan.
Profesor Madya Suzanna turut menambah bahawa projek ini memberi pasangan peluang untuk berhubung rapat dengan pekerja sosial perubatan dari KKH.
Pekerja sosial ini bertujuan untuk menjadi sebuah akses bagi pasangan mengutarakan segala kerisauan mereka mengenai isu kesihatan keluarga.
“Sebaik sahaja mereka menyertai Projek Arif, mereka boleh mendapatkan pencerahan dari segi pekerja sosial, doktor yang khusus dan juga jururawat.
“Apa sahaja soalan yang mereka ada, mereka boleh menanyakannya,” katanya.
Antara yang mendapat manfaat daripada program itu ialah Encik Asyraf Fayyadh dan isterinya, Cik Suhana Shahril.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH), Cik Suhana berkata bahawa pekerja sosial ini dapat menjadi perantara bagi mereka mendapatkan bantuan.
“Salah satu perkara yang paling memberi kesan kepada kami mungkin adalah lawatan rumah oleh perunding penyusuan, pakar pediatrik, jururawat dan pekerja sosial perubatan.
“Saya mengalami masalah penyusuan susu ibu, jadi beliau (pekerja sosial) memanggil pakar pediatrik,” kata Cik Suhana, yang mempunyai seorang anak lelaki berumur 14 bulan.
Satu tinjauan oleh KKH ke atas 106 ibu di bawah Projek Arif mendapati 67 bayi yang dilahirkan sejak 2022 sedang membesar dengan baik.
Baru-baru ini juga, Projek Arif menerima Anugerah Merit di Platform Bersepadu bagi Penyelidikan dalam Memajukan Hasil Kesihatan Keibuan dan Kanak-Kanak pada Februari.
Encik Faishal mengucapkan tahniah atas pencapaian ini dan berkata:
“Ini adalah program yang pertama di dunia dilakarkan seperti ini justeru ini saya rasa bangga kerana ia dilakarkan oleh Masyarakat Melayu/Islam.
“Saya rasa gembira apabila saya berjumpa dengan keluarga ini mereka merasakan, walaupun membangunkan keluarga itu bukan mudah tetapi dengan adanya sokongan yang diberi, mereka ada kawan yang mempunyai kemahiran untuk menyokong dan memberi sokongan kepada mereka,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg