Dalam diam, seorang anak muda dan pasukan sukarelawannya telah mengubah pengalaman Hari Raya untuk ratusan keluarga yang menetap di flat sewa.
Ia dilakukan bukan dengan dana besar, tetapi melalui sentuhan manusiawi.
Cik Maria Zahid, 25 tahun, pengasas Projek Khas Untukmu (PKU), satu inisiatif tahunan yang melibatkan pengagihan pakaian Hari Raya baru dari butik tempatan kepada keluarga kurang berkemampuan.
Sejak dimulakan pada 2022, projek itu telah memberi manfaat kepada lebih 370 keluarga dan menyaksikan mereka bekerjasama dengan lebih 1,500 butik.
Di sebalik komitmen sepenuh masa sebagai saintis dan jadual sambilan sebagai pelajar kejuruteraan bioperubatan di Tahun 2, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Cik Maria tetap mengetuai perancangan PKU setiap tahun.
Daya usaha PKU bermula secara tidak sengaja.
Selepas tamat pengajian diploma dalam bidang bioteknologi di Politeknik Republic, Cik Maria menyertai projek agihan Ramadan.
Di situlah beliau menyedari kesan mendalam kemiskinan yang tidak kelihatan sebelum ini, terutama semasa musim perayaan.
“Saya baru tahu tentang flat sewa ketika itu. Sewaktu saya agih barangan dari rumah ke rumah, saya sedar betapa pentingnya inisiatif komuniti yang benar-benar mendekati keluarga yang menetap di flat sewa,” kongsi beliau, yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik.
Tawaran pertama untuk melaksanakan projek kebajikan datang daripada pegawai di Wisma Geylang Serai (WGS), selepas satu acara pemberian baju raya baru yang mereka anjurkan.
Disebabkan terdapat lebihan baju kurung yang tidak diagihkan, pegawai itu menghubungi Cik Maria, yang ketika itu bertugas sebagai Setiausaha M³@Geylang Serai, untuk bertanya sama ada beliau boleh membantu menyampaikannya kepada penduduk flat sewa yang memerlukan.
Berbeza daripada kebanyakan sumbangan pakaian, PKU hanya menerima pakaian baru, bukan terpakai.
Tumpuan mereka jelas iaitu ia bukan sekadar memberi pakaian, bahkan melibatkan maruah golongan itu.
“Apabila anak kecil dapat pilih sendiri baju baru yang bergaya, mereka rasa seperti orang lain juga.
“Itulah makna sebenar keterangkuman,” kata Cik Maria.
Acara PKU kelihatan seperti butik sementara.
Penerima tidak perlu bawa slip gaji atau mendaftar secara terbuka.
Sebaliknya, sukarelawan mengundang keluarga langsung ke flat sasaran yang menjadi ‘tiket masuk’ kepada acara agihan.
Di sana, pakaian digantung rapi di rak-rak, lengkap dengan cermin dan ruang mencuba.
Kanak-kanak boleh memilih sendiri pakaian mereka, sama seperti pengalaman membeli-belah di luar.
Setakat ini, PKU telah bekerjasama dengan butik seperti Begum Bridal, Modestheory, Bewa, AC Collections dan Aurah Boutique.
Bagi pemilik butik, menyumbang bukan sahaja membantu golongan memerlukan, malah membantu mengurangkan lebihan bekalan dengan bermakna.
Bagi Cik Maria, kejayaan PKU banyak bergantung pada sokongan akar umbi.
Seramai 27 sukarelawan daripada pelbagai latar belakang membantu setiap tahun, daripada aspek urusan logistik dan pengangkutan, hingga ke penyusunan bekalan dan pendaftaran jemputan.
Kerjasama dengan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) juga penting bagi memastikan setiap kawasan mendapat giliran.
Kini, PKU hanya dapat dijalankan setahun sekali, lazimnya di kawasan seperti Kembangan-Chai Chee, Macpherson atau Geylang Serai.
Namun matlamat jangka panjang Cik Maria ialah memperluas projek itu ke lebih banyak kawasan secara serentak.
“Saya harap suatu hari nanti, kita boleh jalankan dua atau tiga PKU setiap Ramadan supaya lebih ramai anak daripada keluarga kurang berkemampuan dapat merasa nikmat memakai baju raya baru tanpa perlu menunggu giliran bertahun-tahun lamanya,” ujar beliau.
Baginya, keletihan terasa berbaloi apabila melihat senyuman di wajah kanak-kanak yang selama ini hanya mampu melihat baju indah dan baru di rak-rak kedai.
Salah satu detik yang kekal dalam ingatannya ialah apabila seorang kanak-kanak perempuan bersorak kecil kepada ayahnya selepas menerima jemputan PKU:
“Akhirnya kita dapat baju raya baru!”
Sempena Hari Kebangsaan 2025, PKU mengangkat nilai yang menjadi teras masyarakat Singapura, iaitu keprihatinan, kerjasama dan keinginan untuk melakukan lebih daripada biasa, walau tanpa sebarang ganjaran.
Daya usaha seperti itu menunjukkan bahawa perubahan besar tidak selalu bermula dari atas.
Kadangkala, ia bermula di tangga rumah sewa dengan kad jemputan kecil dan sepasang baju kurung baru.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg