Projek BTO di Tampines, Bukit Merah paling popular dalam kalangan pembeli kali pertama

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek BTO di Tampines, Bukit Merah paling popular dalam kalangan pembeli kali pertama

Feb 11, 2026 | 10:10 PM

Projek BTO di Tampines, Bukit Merah paling popular dalam kalangan pembeli kali pertama

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Lakaran artis bagi projek Tampines Bliss, yang terletak di Tampines Avenue 2 dan Tampines Street 22. 
Lakaran artis bagi projek Tampines Bliss, yang terletak di Tampines Avenue 2 dan Tampines Street 22.  - Foto HDB

Flat empat bilik di Tampines dan Bukit Merah merupakan projek paling popular dalam kalangan pembeli rumah kali pertama yang dilancarkan dalam latihan penjualan Bina Ikut Tempahan (BTO) terbaru Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Ia dibuka untuk permohonan pada 4 Februari.

Setakat 5 petang pada 11 Februari, hampir tujuh pemohon kali pertama bersaing bagi setiap satu daripada 337 flat empat bilik di projek Tampines Bliss dan Tampines Nova. 

Permohonan ditutup pada 11.59 malam 11 Februari menerusi Portal Flat HDB.

Tampines Bliss ialah projek Standard di Tampines Avenue 2 dan Tampines Street 22. 

Flat di sini mempunyai tempoh menunggu paling singkat dalam pelancaran ini, iaitu satu tahun 11 bulan.

Tampines Nova yang terletak di pusat Tampines Central, dengan jarak berjalan kaki sekitar lima minit dari stesen MRT Tampines, dikategorikan di bawah projek Plus. 

Kadar pemulangan subsidi bagi projek Plus, ditetapkan pada 6 peratus apabila dijual semula.

Pemulangan subsidi bermaksud apabila flat tersebut dijual, pemilik perlu membayar HDB sebahagian daripada harga jualan semula atau penilaian, mengikut mana yang lebih tinggi.

Flat di bawah kategori Prime dan Plus, terletak lebih dekat dengan pusat bandar, kemudahan, dan lokasi pengambilan pengangkutan awam.

Namun, ia mempunyai syarat penjualan semula lebih ketat, termasuk tempoh penginapan minimum (MOP) 10 tahun, dengan projek Prime mempunyai kadar pemulangan subsidi lebih tinggi apabila dijual semula.

Flat kategori Standard pula tidak tertakluk kepada pemulangan subsidi apabila dijual dan mempunyai MOP selama lima tahun.

Flat tiga bilik di Tampines Bliss juga menerima permohonan melebihi bekalan, dengan lebih tiga pemohon kali pertama bagi setiap satu daripada 80 unit yang ditawarkan.

Penganalisis hartanah berkata kadar permohonan tinggi bagi projek di Tampines memang dijangkakan memandangkan ia terletak di bandar matang dengan pelbagai kemudahan berhampiran serta mempunyai tempoh menunggu kurang daripada tiga tahun.

Tampines Nova khususnya merupakan tapak yang jarang ditawarkan berikutan kekurangan tanah bagi pembangunan baru di kawasan Tampines Central, kata Ketua Penyelidik dan Strategi firma hartanah Realion (OrangeTee & ETC) Group, Cik Christine Sun.

“Projek yang terletak berhampiran stesen MRT akan terus menarik minat pembeli disebabkan kemudahan (yang ditawarkan),” tambahnya.

Sementara itu, projek Redhill Peaks di Bukit Merah menerima 1,982 permohonan bagi 593 flat empat bilik, meskipun mempunyai tempoh menunggu paling lama dalam pelancaran ini, iaitu empat tahun tujuh bulan. 

Flat tersebut tertakluk kepada pemulangan subsidi sebanyak 12 peratus.

Kadar permohonan pembeli kali pertama bagi flat Prime ini ialah dua, bermakna terdapat dua pemohon bagi setiap satu unit yang ditawarkan.

Namun, flat tiga bilik dalam projek tersebut kurang mendapat sambutan dalam kalangan pembeli kali pertama, dengan kadar 0.7.

Ini bermaksud semua pemohon kali pertama bagi flat berkenaan dijangka berpeluang mendapat sebuah unit.

Ketua Eksekutif agensi hartanah ERA Singapore, Encik Eugene Lim, berkata permintaan tidak begitu memberangsangkan itu mungkin disebabkan bilangan unit flat yang banyak dilancarkan di Bukit Merah pada 2025.

Pada 2025, lebih 3,000 unit flat dilancarkan di bandar itu, termasuk 1,021 unit dalam fasa pertama pelancaran Redhill Peaks pada Oktober.

Beliau menambah, sesetengah pembeli rumah mungkin menunggu projek BTO 1,960 unit di estet baru Berlayar yang akan dilancarkan pada Jun dalam latihan BTO berikutnya, yang juga dalam kawasan Bukit Merah.

Secara keseluruhan, sebanyak 4,692 unit flat ditawarkan dalam latihan BTO Februari ini di Bukit Merah, Sembawang, Tampines dan Toa Payoh.

Sementara itu, sebuah projek Plus di Toa Payoh, Kim Keat Crest, kurang mendapat sambutan bagi flat tiga dan empat bilik yang ditawarkan dengan kadar permohonan pembeli kali pertama di bawah satu.

Encik Lim berkata sambutan kurang memberangsangkan itu mungkin disebabkan oleh jarak projek berkenaan dari Toa Payoh Central – iaitu sekitar 20 minit berjalan kaki atau 10 minit menaiki bas dari stesen MRT Toa Payoh – serta klasifikasi projek tersebut.

“Flat yang lebih dekat dengan stesen MRT biasanya dikategorikan sebagai Standard,” jelasnya.

“Sebilangan besar pemohon yang sanggup menerima syarat penjualan semula ketat bagi flat Plus biasanya mencari lokasi yang strategik, seperti jarak berjalan kaki ke stesen MRT. Oleh itu, mereka mungkin berasa kurang berminat untuk membuat permohonan bagi projek ini.”

Flat empat dan lima bilik Standard di Sembawang Deck dan Sembawang Voyage, yang terletak di kawasan perumahan baru Sembawang North, juga mencatatkan kadar permohonan di bawah satu.

Kadar permohonan bagi flat tiga bilik di Sembawang Deck ialah 1.3.

Ketua Pegawai Penyelidikan portal hartanah Mogul.sg, Encik Nicholas Mak, berkata kadar permohonan lebih rendah ini mungkin disebabkan projek-projek berkenaan tidak terletak berhampiran stesen MRT.

Setakat 5 petang pada 11 Februari, jumlah pemohon bagi latihan BTO Februari ialah 14,052. 

Ini bersamaan dengan kadar permohonan keseluruhan sebanyak tiga, lebih rendah berbanding dua latihan sebelum ini iaitu 3.4 pada Oktober 2025 dan 4.2 pada Julai 2025.

Pengarah Kanan Analitik Data di agensi hartanah Huttons Asia, Encik Lee Sze Teck, berkata sesetengah pembeli mungkin menunggu untuk memohon projek BTO yang akan dilancarkan pada Jun, yang menampilkan lokasi menarik seperti Upper Thomson dan Berlayar.

Mereka yang mendapat nombor giliran bagi pelancaran Februari boleh menjangkakan untuk menempah flat mereka di Hab HDB, Toa Payoh, antara Julai dengan November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg