Taman permainan dan kebun yang diilhamkan oleh flora dan fauna sekeliling, kawasan pejalan kaki di seluruh kawasan awam, serta tempat letak kereta bawah tanah dengan akses langsung ke lobi lif blok kediaman, merupakan di antara ciri reka bentuk utama projek perumahan Rivervale Shores.
Ciri-ciri tersebut merupakan salah satu faktor yang membantu pasukan projek Rivervale Shores, sebuah projek Bina Ikut Tempahan (BTO) di Sengkang, memenangi dua daripada 26 Anugerah Reka Bentuk, Pembinaan dan Kejuruteraan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Anugerah tersebut diberikan kepada perunding seni bina dan kejuruteraan, serta kontraktor pembinaan untuk mengiktiraf usaha mereka dalam projek perumahan awam.
Anugerah tahunan itu disampaikan oleh HDB pada satu majlis pada 22 Oktober di Resorts World Sentosa (RWS), lapor The Straits Times (ST).
Disiapkan pada Ogos 2023, Rivervale Shores, yang menerima kedua-dua Anugerah Reka Bentuk dan Pembinaan HDB, merupakan projek BTO terbesar setakat ini, dengan 2,500 unit dalam 16 blok.
Projek perumahan yang direka oleh syarikat Surbana Jurong itu memenangi Anugerah Reka Bentuk kerana menyepadukan projek dengan Sungei Serangoon, sungai yang mengalir di sebelah estet HDB itu.
Ia menggunakan landskap kawasan perumahan itu serta kepelbagaian biodiversitinya sebagai inspirasi ketika melakarkan reka bentuk kemudahan di estet itu.
Sebagai contoh, reka bentuk taman permainan di Rivervale Shores diilhamkan oleh spesies burung yang aktif di kawasan itu, manakala lima taman bertema yang menghubungkan penduduk dengan Penghubung Taman Sungei Serangoon, masing-masing diilhamkan oleh aspek tertentu yang terdapat dalam ekosistem sungai tersebut.
Kawasan awam di estet tersebut pula ditempatkan di atas platform tinggi khas untuk pejalan kaki, dikenali sebagai dek alam sekitar, yang menghubungkan semua 16 blok kediaman, dan di bawahnya pula ditempatkan tempat letak kereta bawah tanah.
Cik Farah Charles, yang akan berpindah bersama keluarganya ke Rivervale Shores pada November, berkata dek alam sekitar itu akan membuat fikirannya lebih tenang apabila anak perempuannya yang berusia lima tahun bermain di taman permainan itu kelak.
“Reka bentuk ini jauh lebih selamat kerana tiada jalan raya di sekitar kawasan awam.
“Ia juga akan menjadi lebih mudah apabila kami berpindah bulan depan (November), kerana dengan (adanya) tempat letak kereta bawah tanah bermakna kami boleh memandu terus ke lobi lif untuk (sampai ke) flat kami,” jelas suri rumah berusia 32 tahun itu.
Pada majlis itu, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, turut menyampaikan anugerah kepada pasukan-pasukan projek yang mengendalikan tiga tapak BTO setelah berjaya mengatasi penangguhan akibat pandemik Covid-19.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg