Sempena ulang tahun kelimanya, M³ telah mencapai kemajuan yang ketara dalam menyokong isi rumah Melayu/Islam melalui inisiatif seperti Projek Dian dan program kesihatan yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Demikian dinyatakan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli dalam catatannya di Facebook pada 10 November.
Sambil merenung pencapaian M³ sepanjang lima tahun lalu, Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, turut mengetengahkan projek-projek besar yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa acara Forum M³ termasuk penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), usaha menghidupkan semula Kawasan Budaya Geylang Serai serta penambahbaikan Kampong Gelam.
Beliau melahirkan penghargaan atas sokongan pemerintah terhadap inisiatif-inisiatif ini yang bertujuan untuk sentiasa memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat.
Dalam catatannya, Encik Masagos menyatakan: “Lima tahun lalu, saya dan rakan-rakan mewujudkan M³ sebagai platform kolaboratif yang bertujuan untuk memperkasa dan memajukan lagi masyarakat Melayu/Islam kita, agar kita dapat mencapai kejayaan bersama.”
Sebanyak 11 M³@Bandar ditubuhkan dengan lebih daripada 1,400 sukarelawan di seluruh Singapura, tambah beliau.
Rangkaian M³ turut berjaya memperluaskan jangkauan program unggul seperti Project Dian, Bersamamu, KelasMateMatika@CC (KMM@CC) dan Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah), yang telah memperkayakan kehidupan individu dan keluarga Melayu/Islam dari semua lapisan masyarakat.
Di samping itu, tiga projek – penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), usaha menghidupkan semula Kawasan Budaya Geylang Serai serta penambahbaikan Kampong Gelam – turut merupakan transformatif yang menandakan satu kemajuan bagi masyarakat Melayu/Islam Singapura, kata Encik Masagos.
Penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) bukan sahaja akan “meningkatkan peluang pendidikan bagi pelajar madrasah setempat kita”, malah ia juga akan “meletakkan Singapura sebagai hab pengajian Islam sedunia.”
“SCIS adalah aspirasi kita untuk melahirkan para pemimpin agama masa hadapan kita dengan ilmu dan konteks setempat bagi memimpin dan membimbing umat Islam mengharungi cabaran kontemporari.
“Saya percaya ini adalah masa yang sesuai untuk kita memberi tumpuan kepada membangun graduan kita sendiri dengan kemahiran praktikal untuk meneruskan kerjaya dalam sektor agama dan sekular,” kata Encik Masagos.
Selain Jalur Budaya Geylang Serai yang telah diperbaharui, termasuk Kompleks Tanjong Katong yang baru, dan pembukaan semula Taman Warisan Melayu di Kampong Gelam, projek-projek ini menjanjikan cara baru untuk menghidupkan budaya, sejarah serta aspirasi masyarakat Melayu/Islam Singapura.
Masjid Sultan, yang merupakan monumen Singapura, juga bakal menjalani peningkatan besar pada 2025, sebagai sebahagian daripada projek Kampong Gelam.
Dalam catatannya, Encik Masagos merakamkan penghargaannya atas peluang meraikan Ulang Tahun kelima M³ bersama PM Wong, rakan-rakan Parlimen dan lebih 1000 rakan kongsi masyarakat, termasuk badan-badan Melayu/Islam kita, karyawan, serta para sukarelawan dari M³@Bandar.
Majlis ulang tahun itu diadakan di Auditorium Pusat Konvensyen Tay Eng Soon di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 10 November.
“Saya amat berbangga dengan sejauh mana kita telah melangkah, dan saya menyeru masyarakat kita untuk bersama-sama menyokong inisiatif-inisiatif penting ini, yang akan membentuk masa depan bersama kita untuk generasi akan datang,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg