Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Bagi Cik Masturah Maidin, 37 tahun, bahasa dan kisah masyarakat yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi tidak seharusnya luput ditelan zaman kerana ia mengandungi pengajaran dan inti pati yang bernilai kepada masyarakat.

Namun, apabila melihat semakin kurang golongan belia bertutur dalam bahasa Melayu di rumah mahupun bersama rakan-rakan, beliau terdorong untuk menyediakan sebuah ruang selamat agar mereka dapat menggunakan bahasa itu tanpa rasa takut dikritik.

Dengan pengalaman beliau dalam bidang reka bentuk selama 15 tahun, beliau membangunkan projek warisan Melayu antara generasi, ‘Speaking Selves’, yang menghubungkan golongan belia dengan warga emas menerusi pondok telefon interaktif dan peti surat poskad.

Menurut pelajar Sarjana Reka Bentuk di Maktab Seni Lasalle itu, projek tersebut bertujuan menggalakkan golongan belia berinteraksi dengan warga emas secara santai.

Projek tersebut, yang mendapat pembiayaan Dana Kerjasama SG (SG Partnerships Fund) Peringkat Awal di bawah Pejabat Kerjasama Pemerintah Singapura (SGPO), telah berlangsung selama lima minggu dari April di Sekolah Rendah Tampines dan Our Tampines Hub.

Sebagai penerima dana tersebut, ‘Speaking Selves’, boleh menerima pembiayaan sehingga 100 peratus daripada kos program yang layak, dengan jumlah maksimum $5,000.

Semasa ditemui Berita Harian (BH), Cik Masturah berkata ramai belia kurang yakin untuk menggunakan bahasa Melayu dalam perbualan harian kerana terlalu memikirkan sama ada bahasa yang digunakan betul atau tidak.

“Saya mahu projek ini melibatkan masyarakat dengan mengurangkan halangan untuk bertutur dalam bahasa Melayu, agar mereka tidak terlalu berfikir setiap kali menggunakan bahasa itu,” kata beliau.

Menurut Cik Masturah, sejak pelancarannya, projek itu mencatat lebih 800 penggunaan telefon serta menerima lebih daripada 500 keping poskad.

Bagi pondok telefon interaktif, peserta terlebih dahulu mendengar rakaman suara warga emas yang berkongsi kisah kehidupan, kenangan dan pengalaman menerusi pondok telefon sebelum diberi peluang merakamkan respons mereka sendiri.

Sementara itu, peti surat poskad membolehkan peserta menulis soalan, berkongsi pengalaman atau mendapatkan nasihat daripada warga emas yang mengambil bahagian dalam projek itu.

Poskad tersebut kemudian diserahkan oleh Cik Masturah kepada warga emas yang terlibat untuk dibalas.

Selepas itu, respons kepada rakaman suara dan tulisan poskad akan dimuat naik ke laman web, MalayMondays.com untuk rujukan peserta.

Malay Mondays adalah satu usaha dalam talian yang dihasilkan Cik Masturah untuk menerangkan frasa bahasa Melayu dan menggalakkan orang ramai berbahasa Melayu.

“’Speaking Selves’ juga merupakan satu wadah untuk golongan belia mengajukan soalan yang selama ini ingin mereka tanyakan kepada datuk dan nenek mereka, tetapi tidak berpeluang berbuat demikian,” kongsi Cik Mastura.

Beliau mahu projeknya itu menggalakkan peserta berkomunikasi secara autentik dan organik.

Buat masa ini, projek tersebut dalam tempoh berehat dan tidak dipamerkan.

“Saya berharap projek ini dapat diluaskan ke tempat seperti Jawatankuasa Penduduk (RC) untuk menggalakkan perbualan dalam masyarakat di antara golongan muda dengan warga emas,” kata beliau.

Cik Masturah juga sedang berusaha menghasilkan panduan bagi projek beliau agar badan lain juga dapat meneruskan usaha tersebut di kawasan lain atau menyesuaikannya dalam bahasa ibunda yang lain.