Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek korban bantu golongan memerlukan sambil pertingkat dana madrasah

May 31, 2024 | 5:30 AM
Cikgu Mohd Ma’mum Suheimi (kiri) bersama kiai Encik Muhammad Hasan Mukarrom, ketika mengagihkan daging korban di Indonesia. Foto dirakam beberapa tahun lalu.
Cikgu Mohd Ma’mum Suheimi (kiri) bersama kiai Encik Muhammad Hasan Mukarrom, ketika mengagihkan daging korban di Indonesia. Foto dirakam beberapa tahun lalu. - Foto MADRASAH AL-MA’ARIF AL-ISLAMIAH

CIKGU MOHD MA’MUM SUHEIMI

Seperti tahun-tahun lalu, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, akan terus melaksanakan ibadah korban dan ini merupakan tahun ke-16, pihak kami melakukannya di Indonesia.

Usaha ini dijayakan dengan kerjasama Pesantren Baabussalaam, Bandung, Indonesia dan pihak madrasah sendiri.

Usaha murni ini merupakan satu cara untuk memberi pilihan yang lebih luas kepada umat Islam di negara ini yang ingin melakukan korban selain di Singapura.

Malah, daripada hasil kutipan korban yang diusahakan oleh madrasah kami ini, ia mampu menambah dana bagi keperluan Madrasah Al-Ma’arif secara am.

Ia termasuk dalam usaha pembaikan berterusan bagi bangunan kami, pembelian peralatan untuk pembelajaran seperti alat-alat elektronik dan keperluan lain.

Selain itu, ibadah korban yang dilakukan oleh kaum Muslimin ini juga dapat membantu pesantren di Baabussalaam untuk menambah dana, serta mengukuhkan lagi prasarana di kawasan pesantren ini.

Daripada ibadah korban itu juga, ia memberi peluang kepada penduduk di desa terpencil dan berdekatan serta kurang berkemampuan untuk turut mendapatkan daging kambing yang jarang mereka nikmati.

Warga serba kekurangan itu sangat berharap dan amat menantikan daging kambing yang akan diagihkan kepada mereka pada setiap tahun.

Kambing-kambing ini dipastikan sihat, bebas daripada penyakit dan setiap kambing ini seberat antara 21 kilogram dengan 24 kilogram.

Pihak kami memilih saiz sedemikian kerana ia lebih besar sedikit, dan lebih banyak lagi penerima yang layak menerima daging korban itu.

Bukan hanya isi daging yang kami diagihkan, kulit kambing, tanduk kambing dan kesemuanya dibahagi-bahagikan.

Boleh dikatakan tiada sisa yang dibuang dan korban ternyata mampu memberi manfaat kepada warga miskin ini.

Daripada setiap kambing, anggaran lebih 20 bungkusan diagihkan kepada penerima.

Dengan sokongan anda, para penderma, dan para sohibul korban, pihak kami bukan sahaja mampu mengumpulkan dana untuk Madrasah Al-Ma’arif bahkan dapat membantu Pesantren Baabussalaam.

Selain itu, kami mampu berkongsi rezeki dan mengagihkan daging korban kepada penduduk daif di Indonesia.

Harapan kami semoga 200 tempahan ibadah korban dapat dicapai pada 2024.

Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa membantu dan menyokong Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah selama ini.

Harga setiap ekor kambing korban ialah $260 dan $280 untuk ibadah akikah.

Setiap tempahan akan menerima sijil elektronik melalui wadah WhatsApp.

Cara mendaftar

1. Orang ramai boleh langsung ke pejabat Madrasah Al-Ma’arif di No. 3 Lorong 39 Geylang, Singapura 387865. Dari Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 4.30 petang. Pada cuti sekolah ini, pejabat dibuka dari 9 pagi hingga 3 petang. Pembayaran boleh dilakukan secara tunai atau Nets.

2. Tempahan melalui WhatsApp: Berikan nama penuh, alamat dan tangkap layar, atau screenshot, pembayaran anda. Pembayaran boleh dilakukan melalui PayNow ke UEN: S36MM0001G (ruang ‘rujukan’: ‘korban’).

3. Lungsuri laman rasmi Madrasah Al-Ma’arif di https://almaarif.edu.sg/donation/

Penulis merupakan Pengerusi Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg