Skim Pintar Masjid Ar-Raudhah bagi masyarakat labur ‘saham akhirat’
Skim Pintar Masjid Ar-Raudhah bagi masyarakat labur ‘saham akhirat’
Dengan sumbangan tetap serendah $5 sebulan melalui Giro, penderma bantu golongan susah, masjid jalankan program pendidikan, kebajikan tanpa gangguan
Masjid Ar-Raudhah terus memperkukuh usaha kebajikan dan pembangunan masyarakatnya menerusi satu inisiatif baru.
Inisiatif ini memudahkan dan menggalak orang ramai menderma secara tetap. Ia juga menawarkan pelbagai manfaat istimewa kepada penyumbang sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan mereka.
Dikenali sebagai ‘Skim Pintar’, inisiatif ini memberi peluang kepada penderma menyumbang secara konsisten melalui potongan Giro, daripada serendah $5 sebulan.
Menurut Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, skim ini dirangka bagi menggalak budaya memberi dalam kalangan masyarakat, selain memastikan kelangsungan program dan operasi masjid di Bukit Batok itu.
“Dengan sumbangan bulanan serendah $5, penderma akan disertakan dalam Skim Pintar Asas untuk diri sendiri. Sumbangan $20 ke atas melayakkan mereka menyertai Ahli Pintar Plus, yang merangkumi diri serta ahli keluarga yang tinggal serumah dengan penderma,” ujar Encik Zuraimi.
Ahli Skim Pintar akan menikmati pelbagai keistimewaan, termasuk diskaun hingga $1,000 bagi perkhidmatan pengurusan jenazah asas. Mereka juga layak menerima potongan antara 20 hingga 40 peratus bagi penyertaan dalam kursus anjuran masjid itu.
Bagi Ahli Pintar Plus, manfaat tambahan turut disediakan.
“Ahli Pintar Plus bukan sahaja meliputi keluarga yang tinggal sebumbung, malah ibu bapa yang tidak tinggal bersama juga layak menerima diskaun 50 peratus bagi perkhidmatan tertentu,” ujar Encik Zuraimi.
Beliau menambah bahawa inisiatif ini bukan sekadar menawarkan manfaat kepada penderma, malah bertujuan memperkukuh peranan Masjid Ar-Raudhah sebagai pusat pembangunan ummah.
“Sumbangan yang diterima akan disalurkan untuk membiayai perbelanjaan keperluan masjid, termasuk program keagamaan, pendidikan dan kebajikan masyarakat. Ia merupakan satu pelaburan berterusan untuk kesejahteraan bersama,” kata Encik Zuraimi.
Skim Pintar terbuka kepada semua golongan usia, baik orang dewasa mahupun remaja dan warga emas. Masjid itu berharap lebih ramai akan tampil menyertai skim ini demi menyokong usaha berterusan memakmurkan masjid dan memperkukuh peranannya dalam pembangunan ummah.
Encik Zuraimi turut menyeru masyarakat supaya tampil menyumbang dengan lebih murah hati demi memastikan kesinambungan usaha murni ini.
“Kami amat mengalu-alukan sokongan berterusan daripada masyarakat. Setiap derma yang disumbangkan membawa makna besar dalam membantu masjid menjalankan amanahnya sebagai pusat ibadah, pendidikan dan kebajikan,” katanya.
Menurut beliau, dalam keadaan kos operasi semakin meningkat, sokongan konsisten daripada penderma amat penting bagi memastikan program dakwah dan kelas pengajian dapat diteruskan tanpa gangguan.
“Marilah kita bersama-sama merebut peluang berinfak dan berkongsi rezeki, khususnya pada Ramadan ini. Sumbangan kecil jika dilakukan secara tetap mampu memberi impak besar kepada masyarakat,” tambah Encik Zuraimi.
Sesiapa berminat menyumbang secara tetap melalui potongan Giro dialu-alukan mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi talian 9833-7752.
SEKILAS:
Cara memberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama ‘Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah’ dan dikirimkan kepada masjid yang beralamat di 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
4. Lungsuri laman https://arraudhahmosque.com/ untuk perincian selanjutnya.

